Warga emas putus jari dipukul anak dengan tongkat

PDRM
PDRM
A
A
A

BESUT - Seorang warga emas putus ibu jari tangan kanan akibat dipukul anaknya dengan tongkat dalam kejadian di Kampung Pengkalan Sentol, di sini pada Rabu.

Tindakan agresif suspek berusia 50 tahun itu turut menyebabkan mangsa yang berusia 71 tahun mengalami kecederaan pada belakang kepala.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian disedari setelah mangsa pergi ke rumah salah seorang anaknya (pengadu) kira-kira jam 7.30 pagi dan memberitahu dia dipukul abang pengadu pada bahagian kepala, mata kiri dan tangan kanan.

Abdul Rozak berkata, pengadu terus memanggil jiran untuk membawa mangsa ke Hospital Besut bagi mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

"Hasil pemeriksaan pakar Ortophedik mengesahkan mangsa mengalami patah dan putus ibu jari tangan kanan.

"Mangsa juga telah menerima beberapa jahitan di belakang kepala dan masih dirawat di hospital berkenaan," katanya.

Menurut Abdul Rozak, punca kejadian dipercayai berlaku apabila suspek tiba-tiba mengamuk kerana mangsa enggan memberikan wang kepadanya lalu bertindak mencederakan mangsa.

"Suspek ditahan kira-kira jam 12 tengah hari pada Rabu dan hasil ujian saringan urin mendapati suspek positif methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Polis turut merampas sebatang tongkat rotan yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa," katanya.

Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek dibuat pada Khamis dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.