Setia EcoHill Mall ‘lifestyle mall’ pertama di Semenyih

Najmuddin (dua dari kanan) bersama Kai Wai (tiga dari kanan) pada perasmian Setia Ecohill Mall, Semenyih.
Najmuddin (dua dari kanan) bersama Kai Wai (tiga dari kanan) pada perasmian Setia Ecohill Mall, Semenyih.
A
A
A

SYARIKAT pemaju hartanah, SP Setia Berhad melancarkan pembukaan rasmi pusat beli-belah keempatnya, Setia EcoHill Mall di sini pada Rabu.

Pusat beli-belah berkeluasan 280,000 kaki persegi dengan binaan empat tingkat itu juga menawarkan suasana membeli-belah yang santai dan sesuai untuk seisi keluarga.

Selain dibuka khusus untuk memberi kemudahan kepada penduduk Semenyih, Setia EcoHill Mall juga dijangka menarik pengunjung di sekitar Semenyih, Selatan Cheras, Putrajaya, Kajang dan Bangi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, pusat beli-belah yang dibuka bermula awal bulan ini telah disertai lebih 60 peratus penyewa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menunjukkan produk tempatan sempena pembukaan Lulu Hypermarket di Setia EcoHill Mall, Semenyih.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menunjukkan produk tempatan sempena pembukaan Lulu Hypermarket di Setia EcoHill Mall, Semenyih.

Menurutnya, kesemua ruang di Setia EcoHill Mall dijangka dipenuhi kesemua penyewa dalam masa terdekat ini.

“Kita sedia maklum, selepas berlakunya pandemik Covid-19, sektor perniagaan pusat beli-belah mengalami cabaran yang cukup besar.

“Bagaimanapun, kami yakin dengan kelainan ditawarkan di sini yang menerapkan konsep santai dan memenuhi keperluan pengunjung, kita yakin Setia EcoHill Mall bakal jadi pilihan ramai.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, pihak kami juga sangat menitik beratkan aspek pemilihan penyewa di pusat beli-belah ini bagi memastikan kualiti dan kehendak pengguna dipenuhi,” katanya ketika sidang akhbar selepas perasmian di sini pada Rabu.

Perasmian pembukaan Setia EcoHill Mall disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Najmuddin Jemain.

Hadir sama, Timbalan Presiden SP Setia, Datuk Seri Koe Peng Kang, Pengurus Besar Setia EcoHill Mall, Koh Sooi Meng dan pegawai tertinggi SP Setia yang lain.

Sementara itu, Kai Wai berkata, pihaknya menerima sambutan positif daripada penduduk setempat khususnya di Semenyih sebaik dimaklumkan mengenai pembukaan pusat beli-belah ini.

“Laman Facebook kita menerima banyak maklum balas positif daripada orang ramai dan buktinya hari ini (Rabu) ramai yang turut serta dalam majlis pembukaan rasmi.

“Jadi, mewakili SP Setia, saya harap Setia EcoHill Mall ini akan memenuhi keperluan penduduk di Semenyih dan sekitarnya untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis berlainan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hadir melancarkan pembukaan rasmi Pasaraya LuLu di Setia EcoHill Mall.

Ia juga merupakan pembukaan pusat kelima bagi LuLu Group di negara ini.