Cebelle akhiri kemarau emas

Cebelle berjaya menamatkan penantian emas dalam penyertaan di Sukma MSN apabila mengungguli acara Taijiquan wanita pada Khamis. Foto FB MSN Selangor
Cebelle berjaya menamatkan penantian emas dalam penyertaan di Sukma MSN apabila mengungguli acara Taijiquan wanita pada Khamis. Foto FB MSN Selangor
A
A
A

ATLET Wushu Selangor, Mandy Cebelle Chen berjaya menamatkan penantian emas dalam penyertaan di Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 apabila mengungguli acara Taijiquan wanita pada Khamis.

Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN), Cebelle dinobatkan sebagai juara acara itu selepas mengumpul 9.6 mata menewaskan pencabar terdekat dari Wilayah Persekutuan, Kwan Yong Xin yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan kutipan 9.556 mata.

Tempat ketiga acara itu dimenangi atlet Sarawak, Yong Arifah Khairul Kok dengan kutipan mata debanagk 9.53.

“Saya betul-betul bangga kerana banyak halangan saya hadapi sebelum ke sini, sekarang saya berjaya atasinya. Saya anggap sudah berjaya sempurnakan hasrat.

“Sebelum ni saya alami kecederaan buku lali hingga tak dapat beraksi baik di Sukan SEA. Kecederaan adalah pada kaki

sekali gus menyukarkan saya untuk melakukan pendaratan dan kesimbangan yang kemas,” kata atlet berusia 19 tahun itu.

Sebelum ini, Cebelle mendapat pingat perak dalam acara taijijian perempuan yang berlangsung pada Rabu.

Sebagai rekod, Sukma MSN ini merupakan yang ketiga dalam karier Cebelle sejak melakukan penampilan sulung pada edisi 2016, ketika berusia 13 tahun di Sukma Sarawak yang mana dia terpaksa pulang dengan tangan kosong apabila gagal meraih sebarang pingat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun kekecewaan itu kemudiannya ditebus pada edisi Sukma 2018 di Perak apabila meraih pingat gangsa.

Sementara itu bagi kategori lelaki pula, wakil Melaka meneruskan kecemerlangan membolot emas keenam dalam sukan wusyu menerusi Tan Zhi Yan yang meraih mata 9.650.

Kelebihannya sebagai atlet kebangsaan digunakan dengan baik apabila atlet berusia 22 tahun itu dilihat tenang menampilkan aksi terbaik untuk meraih pingat emas ketiga peribadi sepanjang empat kali beraksi dalam Sukma.

“Saya sangat gembira dan ingin ucapkan terima kasih kepada MSN, persekutuan wushu kebangsaan, rakan sepasukan dan jurulatih untuk kemenangan ini.

“Walaupun ada menghadapi pembedahan tulang belakang selepas Sukan SEA lalu, saya bersyukur dapat berikan aksi terbaik,” katanya.

Pingat perak dimenangi wakil Sarawak, Mok Xiao Yuan (9.570) dan pingat gangsa dimenangi atlet Negeri Sembilan, Wong Zhi Hong (9.556).