[VIDEO] Banjir kali pertama selepas 16 tahun

Keadaan rumah penduduk yang dilanda banjir. Gambar kecil: Md Ali dan Noraini.
Keadaan rumah penduduk yang dilanda banjir. Gambar kecil: Md Ali dan Noraini.
A
A
A

BATU PAHAT - Penduduk Kampung di Sri Gading di sini tidak menyangka kawasan kediaman mereka dilanda banjir kilat selepas ia tidak pernah berlaku sejak 16 tahun lalu.

Penduduk, Md Ali Yusof, 73, berkata, banjir pernah melanda kampung itu pada 2006 dengan paras ketinggian air hampir satu meter.

Menurutnya, banjir kilat yang berlaku sejak awal pagi Rabu sangat pantas dan dia tidak sempat menyelamatkan barang rumah.

"Kampung saya sudah lama tidak dilanda banjir. Hujan lebat dan air pasang besar yang berlaku pada awal pagi menyebabkan air naik mendadak sehingga paras lutut dalam tempoh dua jam.

"Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat lakukan tinjauan dan baiki sistem saluran air yang tidak dapat menampung jumlah air terlalu banyak terutama ketika hujan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Abu Bakar menunjukkan keadaan parit yang dipenuhi rumput di Kampung Sri Gading.
Abu Bakar menunjukkan keadaan parit yang dipenuhi rumput di Kampung Sri Gading.

Sementara itu, Abu Bakar Abdullah, 62, berkata, masalah banjir kilat yang berlaku di Sri Gading hingga menyebabkan kediaman penduduk dinaiki air berpunca daripada sistem perparitan.

"Bila hujan lebat, rumput dalam parit halang air mengalir ke sungai dan keadaan itu menyebabkan berlaku banjir kilat.

Artikel Berkaitan:

"Saya pun tidak tahu mengapa tidak ada pembersihan, tiada pedalaman dan pengorekan, sedangkan itu adalah salah satu punca banjir," katanya.

Noraini Bakar, 54, pula berkata, akibat kejadian itu, banyak perabot di rumahnya rosak.

"Selepas air surut, kami sekeluarga bersihkan rumah.

"Saya harap sistem perparitan di sini dapat diselenggara bagi mengelak kejadian banjir berulang," katanya.

Penduduk membersihkan rumah selepas banjir mulai surut.
Penduduk membersihkan rumah selepas banjir mulai surut.

Dalam pada itu, Sinar Harian melaporkan seramai 204 mangsa banjir kilat di kawasan Sri Gading masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading setakat jam 8 pagi Khamis.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat, jumlah berkenaan membabitkan sebanyak 57 keluarga yang terlibat dalam bencana berkenaan.