Ko-Makmur sasar miliki emas satu tan tempoh lima tahun

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOPERASI Makmur Berhad (Ko-Makmur) menyasarkan untuk menjadi koperasi pertama yang memiliki satu tan emas dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd Faizuddin Che Mahmood berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan perkembangan industri emas di Malaysia dan dunia sejak kira-kira empat tahun lalu.

Menurutnya, kini koperasi terlibat sudah memiliki hampir 40 peratus emas dan sedang berusaha menghampiri misi berkenaan.

"Kita melihat kepada potensi industri emas yang besar sebenarnya dan disebabkan itu kita mahu terus berkembang maju dalam sektor pelaburan emas di Malaysia.

"Jadi, melalui pelan jangka panjang dibuat, kita yakin mampu menjadi koperasi pertama memiliki satu tan emas iaitu emas yang dijual dalam tempoh antara dua hingga lima tahun lagi.

"Malah, kita akan menguasai ekosistem emas kerana sudah mempunyai kilang dan kedai," katanya ketika ditemui pemberita di kedai emas Makmur Gold di sini pada Khamis.

Selain itu, Mohd Faizuddin memaklumkan, Makmur Gold kini sedang merancang untuk melebarkan sayap ke Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.

Katanya, proses penilaian dan mengenal pasti lokasi bersesuaian bagi membuka cawangan baharu di Pantai Barat Semenanjung itu sedang dilaksanakan.

Tambah beliau, pembukaan cawangan kedai emas adalah sebahagian strategi koperasi berkenaan untuk menguasai industri emas di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa ini, kita sudah memiliki 10 cawangan dan kita akan membuka cawangan seterusnya di Putrajaya bermula bulan depan.

"Selepas itu, kita akan membuka cawangan di Kedah, Johor sebelum ke Sabah dan Sarawak.

"Justeru, dalam tempoh lima tahun akan datang, kita tetap komited untuk memastikan sasaran membuka 30 cawangan di seluruh negara menjadi kenyataan," jelas Mohd Faizuddin.