Pulau Pinang tarik balik darjah kebesaran Najib

Najib Razak - Foto Bernama
Najib Razak - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang telah membatalkan keahlian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai penyandang Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Zakuan Zakaria berkata, pembatalan dan pemansuhan yang dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak itu berkuat kuasa pada Khamis.

Menurutnya, pembatalan itu dilakukan selepas Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Najib atas beberapa pertuduhan pada 23 Ogos lalu.

"Tun Fuzi bersetuju untuk Kerajaan Pulau Pinang memansuhkan dan membatalkan Keahlian Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) kepada Najib yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

"Keahlian tersebut dikurniakan kepada Najib pada tahun 2009. Berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama dibatalkan dan dimansuhkan berkuat kuasa pada 15 September 2022," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Zakuan berkata, pembatalan dan pemansuhan keahlian ini adalah selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri yang dikurniakan kepada Najib pada 1992 dan 2004 berkuat kuasa 12 September lalu.

Selain itu, gelaran Datin Paduka Seri yang dikurniakan kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor pada 2005 turut ditarik balik.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Najib mempunyai sembilan darjah kebesaran dari Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).