Sabudin menangis dibebaskan kes rasuah RM200,000

Sabudin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis daripada dua pertuduhan menerima rasuah.
Sabudin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis daripada dua pertuduhan menerima rasuah.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh menangis sejurus Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, melepas dan membebaskannya buat kali kedua atas dua pertuduhan rasuah RM200,000 berhubung permit kerja, empat tahun lalu.

Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan berjaya mematahkan kes pendakwaan dengan memberikan penjelasan yang jujur.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Rozina berkata, pasukan pembelaan berjaya mematahkan dan menyangkal anggapan di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dengan memberi penjelasan yang jujur atas imbangan kebarangkalian.

Menurutnya, ia diperoleh setelah meneliti dan mengimbangi keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan.

Justeru katanya, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes di luar keraguan munasabah bagi kedua-dua pertuduhan.

“Mahkamah juga mendapati ia tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh berdasarkan segala keterangan yang ada.

“Maka, kamu dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan bagi kesalahan di bawah seksyen tersebut,” katanya.

Sabudin, 60, yang hadir dengan memakai sut biru dan berkerusi roda kerana sakit lutut, menundukkan kepala lalu menangis sejurus keputusan dibacakan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini dalam masa terdekat.

Peguam, Theivaendran pula berkata, pihaknya lega dan berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

Pada 18 Disember 2020, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Sabudin daripada dua pertuduhan tersebut.

Namun pada 24 Mac lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Sabudin membela diri atas dua pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen.

Pada 4 Julai lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas mengemukakan lima saksi termasuk Sabudin ketika prosiding di peringkat bela diri yang bermula 12 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan sebelum ini, Sabudin yang ketika itu Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, didakwa memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM200,000 daripada Wong May Kuan.

May Kuan ialah subkontraktor kepada Dusari Niaga yang melaksanakan 'Cadangan Kerja-kerja Pengisaran dan Penurapan Semula Jalan bagi Bekas Lubang Gali Syarikat Utiliti Di Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk DBKL Bagi Tahun 2018/2020 (2017/A214)' sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.

Sabudin didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di dalam kedai serbaneka di sebuah stesen minyak, Jalan Lingkaran Tengah, Bukit Antarabangsa di sini, dan di hadapan kediamannya di Ukay Perdana, Ampang, masing-masing pada 9 Jun 2018 dan 17 Januari 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sabudin mempunyai enam lagi pertuduhan rasuah yang masih dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan di hadapan Hakim Azura Alwi.