The Phoenix perlu lebih luar biasa berdepan Harimau Selatan

Darren Lok (kiri) ketika perlawanan Liga Super, PJ City menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, baru-baru ini. FOTO: BERNAMA
Darren Lok (kiri) ketika perlawanan Liga Super, PJ City menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, baru-baru ini. FOTO: BERNAMA
A
A
A

SETIAP peluang terhidang perlu diterjemahkan sebaik mungkin sekiranya berhasrat meraih keputusan positif apabila berdepan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Apatah lagi juara Piala Sumbangsih dan Piala FA kendalian Hector Bidoglio tersebut masih kebal dengan rekod tanpa kalah musim ini.

Biarpun mengakui bukan tugas mudah mengatasi kekuatan pertahanan JDT, namun penyerang PJ City, Darren Lok menegaskan The Phoenix perlu memiliki penyudah tajam.

“Semua orang tahu kualiti dimiliki JDT dan mereka baharu sahaja mengharungi perlawanan besar minggu lalu di Piala FA dan kami tahu memang sukar tetapi kami akan berikan 100 peratus.

“Sudah tentu kami tidak akan punyai banyak peluang semasa berdepan JDT dan mereka punyai tahap disiplin tinggi pada situasi bertahan.

“Mereka juga sudah pasti menguasai sebahagian besar permainan, jadi apa jua peluang terhidang sama ada saya atau mana-mana pemain lain, perlu disempurnakan sebaik mungkin,” katanya.

Anak buah P Maniam itu akan menerima kunjungan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Khamis.

Untuk rekod, bahagian benteng Harimau Selatan merupakan pertahanan kelab Liga Malaysia (Liga-M) paling sukar ditembusi pasukan apabila sekadar bolos lapan gol dari 16 perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Malah kelab dari selatan tanah air itu hanya sekali dibolosi sebanyak dua jaringan ketika berdepan Sri Pahang.

Sementara PJ City pula menjadi kelab paling rendah menjaringkan gol daripada kalangan 12 pasukan apabila sekadar merekodkan 16 jaringan dari 17 perlawanan.

Sementara itu, pertahanan PJ City, Zainal Abidin Jamil, mengakui The Phoenix perlu sentiasa pantas memberikan tekanan kepada JDT untuk menyukarkan lawan dalam aspek penguasaan bola.

“Kita tahu JDT sebuah pasukan yang bagus selain mereka sudah bermain di peringkat tertinggi dan harap pada hari perlawanan, kami mampu berikan cabaran dengan sengit.

“Memang kami akan lebihkan kepada sentiasa berikan tekanan semasa perlawanan kerana tidak mahu pemain JDT terlalu selesa dengan bola dan kami akan cuba sedaya upaya semasa hari perlawanan.

“Sudah tentu kami di barisan pertahanan tidak boleh leka dan kena sentiasa berwaspada dengan apa jua gerakan dilakukan pemain lawan,” katanya.