PJ City tekad bolosi gawang JDT

Darren Lok (kanan) berharap PJ City dapat membolosi gawang JDT dalam saingan Liga Super di Petaling Jaya pada Khamis. Foto Agensi.
Darren Lok (kanan) berharap PJ City dapat membolosi gawang JDT dalam saingan Liga Super di Petaling Jaya pada Khamis. Foto Agensi.
A
A
A

SKUAD Petaling Jaya (PJ) City FC menanam azam untuk memecahkan benteng kental Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super pada Khamis.

Tekad itu dilontarkan penyerang PJ City FC, Darren Lok yang berharap rakan sepasukan dapat memanfaatkan peluang yang terhidang di depan gawang skuad Harimau Selatan dengan terjemahan jaringan.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya sebelum ini, bukan sesuatu yang mudah untuk mengatasi kekuatan pertahanan JDT.

"Jika mahu mendapatkan sesuatu semasa berdepan pendahulu Liga Super, JDT yang masih kebal dengan rekod tanpa kalah, sebarang kesempatan yang terhidang walaupun hanya satu atau dua peluang, perlu dimanfaatkan," katanya menerusi Facebook Malaysian Football League.

Justeru Darren berharap sama ada dia atau rakan sepasukan untuk menajamkan sentuhan pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Semua orang tahu kualiti yang dimiliki JDT dan mereka baharu sahaja lalui perlawanan besar minggu lalu dengan menjuarai Piala FA. Ia sesuatu yang sukar, tetapi kami akan berikan 100 peratus.

“Sudah tentu kami tidak akan punyai banyak peluang semasa berdepan JDT dan mereka memiliki tahap disiplin yang tinggi pada situasi bertahan.

“Mereka juga sudah pasti akan mengawal sebahagian besar permainan, jadi apa jua peluang yang terhidang sama ada saya atau mana-mana pemain lain, kami kena menyempurnakannya dengan sebaik mungkin,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kubu JDT sememangnya paling sukar ditembusi oleh mana-mana pasukan apabila sekadar bolos lapan gol daripada 16 perlawanan setakat ini dan hanya sekali dibolosi sebanyak dua jaringan iaitu semasa berdepan Sri Pahang.

PJ City pula menjadi pasukan paling rendah menjaringkan gol daripada kalangan 12 pasukan Liga Super apabila sekadar merekodkan 16 jaringan dari 17 perlawanan.

Berada di tangga ke-10, satu atau dua lagi kemenangan akan meletakkan PJ City dalam situasi yang hampir pasti untuk layak ke Piala Malaysia selain berpeluang memperbaiki atau menyamai kedudukan musim lalu apabila menamatkan cabaran di tempat ketujuh.