Pekerja pelantar minyak maut kereta terbabas

Keadaan nahas melibatkan dua buah kenderaan yang berlaku di Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu dekat Kampung Setia Jaya, Merang, di Setiu.
Keadaan nahas melibatkan dua buah kenderaan yang berlaku di Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu dekat Kampung Setia Jaya, Merang, di Setiu.
A
A
A

SETIU - Seorang pekerja pelantar minyak maut dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Setia Jaya, Merang, pada Rabu.

Kejadian kira-kira jam 10.40 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohamed Azmi Zakaria, 39, yang merupakan penumpang Proton Waja meninggal dunia manakala pemandu kereta, Mohd Ridzuan Yahya, 39, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, nahas berlaku apabila kenderaan dinaiki mangsa hilang kawalan menyebabkan ia memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Beliau berkata, pemandu dan dua penumpang Toyota Hilux iaitu Abd Ghaffar Awang Tok, 54; Aiman Abd Ghaffar, 18 dan Mohd Azhar Abd Ghaffar, 32, mengalami luka pada badan.

"Pacuan empat roda yang dipandu dari arah Kampung Bukit Layat, Telaga Papan menghala ke arah Bandar Permaisuri manakala Proton Waja dalam perjalanan dari Kampung Pak Kancil menghala ke Kuala Terengganu.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, Proton Waja hilang kawalan dan telah memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Hilux," katanya.

Afandi berkata, penumpang Proton Waja disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kesemua mangsa lain dihantar ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan awal.

"Kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: