Dua sekolah Orang Asli dicadang laksana Sekolah Model Khas

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon ketika sidang media selepas majlis penyerahan sebuah televisyen pintar untuk 'Smart Classroom Solution' yang disumbangkan oleh Sharp Malaysia di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih, pada Rabu. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon ketika sidang media selepas majlis penyerahan sebuah televisyen pintar untuk 'Smart Classroom Solution' yang disumbangkan oleh Sharp Malaysia di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

TANJUNG MALIM - Cadangan pelaksanaan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 Tahun (K9) membabitkan dua sekolah Orang Asli di Parlimen Tanjung Malim telah dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Jernang di Sungkai dan SK Pos Bersih di Slim River.

"Saya telah mengemukakan cadangan kepada KPM supaya kalau dapat, tidak perlu bina asrama untuk pelaksanaan K9, kita guna kelas sedia ada.

"Saya rasa buat masa ini kita boleh memikirkan cara bagaimana untuk wujudkan dan cari perjawatan mana-mana yang sesuai supaya boleh kita mulakan konsep K9 di kedua-dua sekolah tersebut," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penyerahan sebuah televisyen pintar untuk 'Smart Classroom Solution' yang disumbangkan oleh Sharp Malaysia dan menyampaikan sumbangan pakaian sekolah di SK Pos Bersih di sini, pada Rabu.

Hang Soon turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada sekolah berkenaan bagi membeli keperluan peralatan sekolah seperti kerusi, meja dan alat muzik.

Sebelum ini, Hang Soon dipetik sebagai berkata, pelaksanaan K9 dilihat mampu menangani masalah keciciran pelajar dalam kalangan Orang Asli.

Katanya, kerajaan sentiasa menitikberatkan pendidikan masyarakat Orang Asli melalui pelbagai inisiatif yang dilakukan termasuklah pelaksanaan K9. - Bernama

Artikel Berkaitan: