Rahsia harga tambang, bayar selepas tiba

JPJ menahan seorang pemandu yang menawarkan kereta sewa haram kepada penumpang di KLIA 2, Sepang pada Selasa.
JPJ menahan seorang pemandu yang menawarkan kereta sewa haram kepada penumpang di KLIA 2, Sepang pada Selasa.
A
A
A

SEPANG - Helah merahsiakan jumlah bayaran tambang sebelum diarah bayar setelah tiba di destinasi dibongkar selepas penahanan seorang pemandu yang menawarkan khidmat kereta sewa haram di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) di sini pada Selasa.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasi ini telah menahan sebuah teksi sewa jenis Toyota Innova yang dipandu lelaki berusia 53 tahun.

"Siasatan awal mendapati pemandu itu dipercayai menjalankan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.

"Pemandu itu mengenakan tambang kepada empat penumpang warga asing dari KLIA2 ke Pulau Ketam, Klang dengan kadar tambang yang akan diberitahu dan dibayar setelah sampai ke destinasi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, JPJ telah menyita Toyota Innova itu untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA dan KLIA 2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

"Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu atau pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram," ujarnya.

Artikel Berkaitan: