Atletico mangsa serangan balas pantas Leverkusen

Andrich (tengah) meledak satu gol ketika membantu Leverkusen menewaskan Atletico 2-0 pada aksi Liga Juara-Juara pada Rabu. - Foto Agensi
Andrich (tengah) meledak satu gol ketika membantu Leverkusen menewaskan Atletico 2-0 pada aksi Liga Juara-Juara pada Rabu. - Foto Agensi
A
A
A

GARA-gara serangan balas pantas, Atletico Madrid menerima padah apabila tewas 0-2 kepada kelab Jerman, Bayer Leverkusen aksi dalam aksi Kumpulan B Liga Juara-Juara di Bay Arena, pada Rabu.

Skuad tuan rumah dilihat lebih teruja untuk mencari kemenangan berbanding pelawat dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila Robert Andrich merembat masuk hantaran Jeremie Frimpong pada minit ke-84.

Pertahanan Belanda itu juga menjadi duri dalam daging buat Atletico apabila dia yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua turut terbabit dalam gol kedua Leverkusen.

Frimpong melakukan hantaran leret pada minit ke-87 sebelum ia disempurnakan dengan penuh yakin Moussa Diaby.

“Kami sangka mampu mengawal permainan dengan sempurna kerana tiada apa yang berlaku, namun serangan balas pantas membolehkan mereka memenangi perlawanan dan kami harus melakukan lebih baik,” kata ketua pasukan Atletico, Koke.

Kegagalan itu tidak membuatkan ketua jurulatih Madrid, Diego Simeone tersentak sebaliknya menggesa para pemain segera melupakan kekecewaan tersebut.

Simeone berkata, kegagalan Atletico mencari jaringan awal membuatkan mereka terlalu tergesa-gesa sehingga terperangkap dengan serangan balas pantas pasukan lawan.

Kami tidak dapat menyelesaikan perlawanan ini sehingga minit ke-70 atau 80. Jika dapat berbuat demikain, kami akan lebih tenang menuju ke penghujung perlawanan.

Artikel Berkaitan:

“Para pemain gagal membuat keputusan tepat dan mereka memerangkap kami dengan dua serangan balas yang amat bagus.

“Kami perlu melupakan perlawanan ini. Ia akan menjadi amat sukar kerana Club Brugge telah memenangi dua perlawanan dan kami akan menghadapi mereka dua kali berturut-turut selepas ini,” katanya.

Kemenangan itu membolehkan Leverkusen berada di tangga kedua Kumpulan B dengan mengumpul tiga mata, sama seperti Atletico yang menghuni tempat ketiga.

Leverkusen mencatat empat kekalahan daripada enam perlawanan Bundesliga musim ini selain tumpas kepada Club Brugge pada aksi pembukaan Kumpulan B minggu lalu.