Minyak masak Malaysia tembusi pasaran global baharu

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin. - Foto Bernama.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin. - Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA- Minyak sawit Malaysia telah menembusi pasaran global baharu iaitu Estonia, Republik Czech dan Hungary yang mula membuat pembelian sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ia sekali gus membuktikan komoditi utama negara mendapat pengiktirafan dan penerimaan antarabangsa yang lebih tinggi.

"Tiga buah negara ini tidak pernah membeli mengimport minyak sawit Malaysia sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, sejak Januari hingga Julai tahun ini, Estonia telah mengimport 2,501 tan minyak sawit Malaysia bernilai RM20.22 juta.

"Ia diikuti oleh Hungary yang mengimport 853 tan minyak masak (RM6.73 juta) dan Republik Czech mengimport 95 tan (RM0.88 juta) bagi tempoh sama," katanya.

Ujar menteri itu, walaupun jumlah dan nilai import minyak sawit Malaysia dari negara-negara tersebut tidak setinggi seperti di India dan Turkiye, namun ia merupakan perkembangan menggalakkan.

"Ini kerana negara-negara tersebut merupakan pasaran baharu," katanya.

Zuraida berkata, kementerian sedar pasaran baharu ini wujud sebahagiannya disebabkan oleh konflik berlaku di Ukraine yang mengakibatkan gangguan kepada bekalan minyak bunga matahari dan minyak rapeseed.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, saya percaya ini adalah permulaan yang baik dan minyak sawit Malaysia akan terus mendapat permintaan walaupun setelah konflik ini tamat," katanya.

Tambah beliau, maklum balas yang diterima daripada pasaran baharu juga menunjukkan bahawa negara-negara berkenaan yakin dengan kualiti minyak sawit Malaysia kerana produktiviti yang tinggi dan ketersediaannya sepanjang tahun selain kepelbagaian kegunaan dalam sektor makanan dan bukan makanan.

"KPPK akan terus memanfaatkan kekuatan ini, sekali gus menunjukkan kejayaan kempen Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit.

"Sebelum ini, ramai pihak khususnya di Kesatuan Eropah tidak tahu tentang kelebihan dan manfaat minyak sawit Malaysia berikutan kempen fitnah yang berterusan selama beberapa dekad," katanya.

Zuraida berkata, penerimaan minyak sawit di pasaran Malaysia kini semakin meningkat berikutan kesedaran yang tinggi, hasil usaha promosi warga kementerian termasuk melalui misi perdagangan antarabangsa.

"Usaha ini tidak akan terhenti di sini, KPPK komited untuk terus memacu sektor sawit kukuh dan kekal berdaya saing," katanya.