Rakyat Selangor jimat lebih setengah juta ringgit

Amirudin Shari (dua dari kanan) melakukan simbolik Pelancaran Jelajah Jualan Ehsan Rakyat pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Shah Alam pada 30 Ogos lalu. (Gambar dalam : Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi)
Amirudin Shari (dua dari kanan) melakukan simbolik Pelancaran Jelajah Jualan Ehsan Rakyat pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Shah Alam pada 30 Ogos lalu. (Gambar dalam : Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi)
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 10,000 warga Selangor di 17 Dewan Undangan Negeri (DUN) menikmati penjimatan kos barangan makanan asas sebanyak kira-kira RM545,000 sempena jelajah Jualan Ehsan Rakyat Selangor.

Program jelajah bermula pada 6 September itu juga mencatatkan jumlah subsidi melebihi separuh daripada jumlah kutipan jualan iaitu sebanyak RM1.04 juta di 54 lokasi jualan seluruh negeri berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, jumlah jualan dan agihan subsidi dijangka bertambah berdasarkan sambutan hangat diterima pada minggu pertama ini.

"Untuk itu PKPS telah menggerakkan seluruh warga kerja dan aset untuk memastikan program ini berjalan seperti yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari tempoh hari.

"Seramai kira-kira 100 kakitangan dan pegawai PKPS serta sukarelawan menyertai siri Jelajah Ehsan Rakyat yang bergerak ke seluruh Selangor pada setiap hari kecuali Isnin, bermula jam 9 pagi hingga 1 petang," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Mohamad Khairil berkata, setiap sebuah dari sembilan trak jualan akan membawa enam produk makanan asas iaitu ayam, daging, ikan, beras, minyak masak dan telur ayam.

"Lokasi jualan akan tertumpu kepada kawasan penduduk berpendapatan rendah dan miskin bandar dengan kerjasama daripada petugas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan pemimpin setempat," katanya lagi.

Program jelajah Jualan Ehsan Rakyat Selangor berlangsung sehingga 6 Disember depan bertujuan meringankan beban rakyat mendepani kenaikan harga makanan dengan menawarkan jualan harga rendah iaitu 30 peratus lebih rendah dari pasaran.

Artikel Berkaitan:

Antaranya ayam (berat antara 1.8 hingga dua kilogram (kg) pada harga RM10, daging sejuk beku (900 gram) pada harga RM10, ikan sejuk beku satu kg RM6, telur ayam (gred B) RM10, beras 5kg RM10 dan minyak masak botol lima kg pada harga RM25.

Orang ramai boleh terus melayari laman sosial (Facebook, Instagram, Twitter, Tiktok) Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) atau melayari pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Pada 30 Ogos lalu, sebanyak RM10 juta diperuntukkan kerajaan Selangor melalui PKPS bagi program tersebut dan jelajah Jualan Ehsan Rakyat Selangor ini dilancarkan Amirudin Shari pada Sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 Peringkat Negeri Selangor.