Buruh pembersihan maut langgar lori

Seorang buruh pembersihan warganegara Myanmar maut dalam kemalangan tersebut pada Selasa. -Foto Ihsan PDRM
Seorang buruh pembersihan warganegara Myanmar maut dalam kemalangan tersebut pada Selasa. -Foto Ihsan PDRM
A
A
A

LIPIS - Seorang buruh pembersihan maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Emas 1, Taman Emas, Kuala Lipis di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor memberitahu, kejadian membabitkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan lori jenis Isuzu.

Menurutnya, mangsa merupakan seorang warganegara Myanmar dikenali Mahbu Rahman Shobi Rahman, 31, beralamat Taman Emas di sini meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggangi mangsa telah bergerak secara melawan arus jalan (jalan sehala) dari arah taman perumahan menghala keluar ke jalan utama kawasan taman terbabit.

"Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah mengelak sebuah kereta yang melalui jalan tersebut lalu terbabas dan melanggar sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Keadaan motosikal yang ditunggangi mangsa dalam kejadian terbabit.-Foto Ihsan PDRM
Keadaan motosikal yang ditunggangi mangsa dalam kejadian terbabit.-Foto Ihsan PDRM

Ujar beliau, mangsa tidak memiliki lesen dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

Tambah Azli, siasatan juga mendapati kedua-dua kenderaan terlibat adalah di bawah penjagaan satu syarikat kontrak pembersihan di Taman Emas, Kuala Lipis.

Artikel Berkaitan:

"Punca kemalangan maut adalah disebabkan kecuaian penunggang motosikal sendiri yang menunggang secara melawan arus serta merbahaya sehingga menyebabkan terbabas dan melanggar penjuru belakang lori (parkir tanpa pemandu).

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," kata beliau.