Penunggang motosikal maut langgar lembu

Motosikal yang ditunggang Sazali (gambar kecil) remuk.
Motosikal yang ditunggang Sazali (gambar kecil) remuk.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh seekor lembu di Jalan Tanjung Bidara- Solok Duku di Masjid Tanah di sini pada malam Isnin.

Kejadian jam 12.05 tengah malam itu, menyebabkan bapa kepada lima orang anak, Sazali Mohamad, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RSX dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertemu rakan di Masjid Tanah.

Menurutnya, mangsa dalam perjalanan dari arah Tanjung Bidara menghala ke Jalan Solok Tulang Daing di Kampung Solok Duku.

"Bagaimanapun setiba di lokasi, mangsa gagal mengelak dan melanggar seekor lembu lalu terjatuh atas jalan.

"Akibat pelanggaran itu mangsa mengalami cedera dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Jelasnya, siasatan pegawai penyiasat mendapati lokasi kejadian agak gelap dan kurang pencahayaan lampu, namun keadaan cuaca baik.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.