Tiada kompromi atlet angkat berat 'sangkut' doping

Ayub Rahmat
Ayub Rahmat
A
A
A

MANA-MANA atlet angkat berat yang gagal ujian doping menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2022 bermula Jumaat ini, akan menyebabkan semua penyertaan persatuan angkat berat negeri terlibat pada temasya itu digantung.

Amaran keras oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) itu dibuat supaya tiada atlet angkat berat terjebak dengan penyalahgunaan barangan terlarang.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan tidak mahu terpalit lagi seperti yang berlaku pada Sukma 2018 di Perak apabila dua atlet angkat berat gagal saringan ujian doping.

“Dalam sehari dua ini ujian doping akan keluar. Jika ada mana-mana atlet yang didapati gagal ujian tersebut, maka PABM akan menggantung penyertaan persatuan dari negeri terlibat untuk Sukma kali ini.

“PABM akan bertindak tegas sekiranya perkara ini berulang dan tidak berkompromi sekiranya ada mana-mana atlet yang mengambil bahan larangan. Bersukanlah dengan sehabis baik, buktikan yang anda ‘badang’ negara yang bersih,” katanya.

Ayub berkata, sama seperti sebelum ini, PABM bekerjasama dengan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) bagi melakukan saringan ujian doping ke atas setiap atlet angkat berat sebelum dibenarkan bertanding.

Menurutnya, kos saringan ujian doping ditanggung Majlis Sukan Negeri (MSN) masing-masing dan seperti dipersetujui, ujian itu perlu bagi memastikan setiap atlet bebas daripada penyalahgunaan barangan terlarang.

“Setiap atlet harus ada jati diri dan mengelak daripada penyalahgunaan barangan terlarang. Sukma merupakan pentas bagi menonjolkan potensi dan mencungkil bakat baharu yang bakal mewarnai sukan di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada temasya dwitahunan yang memasuki edisi ke-20 itu, seramai 126 atlet angkat berat dari 14 negeri akan menyertai temasya sukan tersebut yang mempertandingkan 16 kategori. - Bernama