Terengganu FC kembali fokus Liga Super

Nafuzi Zain
Nafuzi Zain
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mahu semua anak buahnya melupakan kekalahan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lalu.

Sebaliknya, Nafuzi meminta barisan pemainnya kembali memberikan fokus kepada perlawanan Liga Super apabila TFC dijadual menentang Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu.

Nafuzi berkata, TFC perlu mengutip tiga mata untuk merebut kedudukan tiga teratas liga, seterusnya melayakkan mereka beraksi di pentas Asia musim depan.

“Paling penting sekarang ini untuk kembalikan motivasi pemain kepada tahap tinggi selepas mood yang suram akibat kekalahan kepada JDT pada perlawanan akhir Piala FA.

“Kita dah banyak keciciran mata selepas kalah dengan pasukan yang tidak sepatutnya dalam liga. Kali ini pemain kena ambil kesempatan cipta kemenangan, lebih-lebih lagi apabila beraksi di laman sendiri,” katanya.

Menurut Nafuzi, selain mengembalikan semangat dan motivasi pemain, beliau juga perlu memastikan skuadnya bebas daripada masalah kecederaan dan kecergasan selepas mengharungi perlawanan berintensiti tinggi dengan JDT.

Namun, beliau tidak bercadang untuk melakukan rombakan besar dalam kesebelasan utama yang akan diturunkan pada perlawanan menentang skuad Harimau Kumbang itu nanti.

“Dari segi giliran pemain, saya tak fikir nak buat begitu, mungkin kekalkan atau perubahan kecil sahaja,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada tiga anak buahnya yang terpilih menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Raja Thailand di Chiang Mai dari 22 hingga 25 September ini.

Tiga pemain tersebut ialah penjaga gol, Rahadiazli Rahalim, pemain pertahanan, Azam Azmi Murad dan pemain sayap lincah, Faisal Halim.

“Pendedahan ini bagus untuk pemain muda seperti Rahadiazli dan Azam untuk merasai pengalaman beraksi bersama pemain senior,” jelasnya. - Bernama