Tentera Ukraine rampas semula kawasan diduduki musuh

Kereta kebal milik tentera Rusia yang musnah dibedil di pinggir Izyum, wilayah Kharkiv. - Foto AFP
Kereta kebal milik tentera Rusia yang musnah dibedil di pinggir Izyum, wilayah Kharkiv. - Foto AFP
A
A
A

KIEV - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada Isnin mengumumkan pasukan tentera mereka berjaya merampas semula kawasan seluas 6,000 kilometer (km) persegi daripada pihak musuh.

Kejayaan itu dicapai setelah Kiev memperhebatkan serangan balas pada awal bulan lalu yang turut menyaksikan Moscow terpaksa menyusun semula strategi untuk meneruskan kempen pencerobohan yang berlarutan selama tujuh bulan.

“Sejak awal September, tentera kami sudah membebaskan sebahagian besar kawasan di wilayah timur dan selatan daripada cengkaman tentera Rusia. Kini, kami semakin membuat kemajuan,” ujar Zelenskyy.

Pada akhir minggu lalu, Ukraine turut mendakwa kemaraan tentera mereka di wilayah Kharkiv telah menyaksikan puluhan kawasan termasuk bandar Izyum, Kupiansk dan Balakliya berjaya dikuasai semula.

Selain itu, ia juga telah merampas semula kawasan seluas 500km persegi di wilayah Kherson.

Badan pemikir berpusat di Amerika Syarikat (AS), Study of War bagaimanapun berpendapat, kemajuan tentera Ukraine tidak akan menamatkan peperangan tersebut walaupun kedudukan tentera Rusia dikatakan semakin lemah.

“Masih terlalu awal untuk menentukan perkembangan konflik itu. Moscow masih mengekalkan kedudukan pasukan yang penting bersama peralatan ketenteraan mereka untuk mencapai matlamat utama kempen pencerobohan tersebut,” kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken. - AFP

Artikel Berkaitan: