Potter azam bantu Chelsea atasi RB Salzburg

Potter - Foto Getty Images.
Potter - Foto Getty Images.
A
A
A

PENGENDALI baharu Chelsea, Graham Potter berazam membantu skuad kendaliannya itu melakar kejayaan pada aksi Liga Juara-Juara berdepan RB Salzburg di Stamford Bridge, pada awal pagi Khamis.

Menurut Potter, setelah tewas 0-1 kepada Dinamo Zagreb dalam aksi sulung Kumpulan E minggu lalu, The Blues perlu kembali bangkit mencatatkan kemenangan pada perlawanan-perlawanan akan datang.

“Sebaik tiba ke Stadmford Bridge, saya telah diberikan indikasi terhadap perancangan yang telah saya sediakan untuk pasukan ini (Chelsea), dan ia akan diterjemahkan pada perlawanan kali ini.

“Oleh itu, saya juga mengharapkan agar kesemua pemain dapat beraksi dengan baik pada perlawanan berkenaan dan seterusnya menghasilkan kemenangan yang diharap-harapkan.

“Lagipun, kemenangan ke atas Salzburg ini penting untuk kita kembali bangkit dalam saingan di peringkat kumpulan,” katanya.

Untuk rekod, Potter dilantik selaku pengendali baharu Chelsea setelah Thomas Tuchel dipecat baru-baru ini susulan prestasi tidak menentu The Blues ketika ini.

Bagaimanapun, Tuchel akan tetap dikenang selaku individu yang bertanggungjawab mengemudi The Blues memenangi Liga Juara-Juara musim 2020/21 lalu.

Sementara itu Potter berkata, dia memiliki kaedah tersendiri bagi mengemudi Chelsea dan antara perkara utama yang akan dilakukannya adalah untuk membina hubungan baik dengan setiap pemain.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkara berkenaan dilihat sebagai aspek terpenting dan perlu diberikan utama sebelum hal-hal lain dilaksanakan.

“Bagi saya mudah sahaja, perkara pertama bina hubungan serta berkomunikasi dengan baik bersama pemain.

“Selain itu, selaku pengendali saya sendiri perlu sentiasa jujur dengan mereka (pemain) kerana mereka juga manusia biasa; berikan motivasi dan memahami mereka,” katanya.