Pelajar tajaan Mara boleh tarik nafas lega

Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan kenaikan ESH pelajar dalam dan luar negara tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang berkuat kuasa serta-merta.
Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan kenaikan ESH pelajar dalam dan luar negara tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang berkuat kuasa serta-merta.
A
A
A

ISU pelajar di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) terutamanya di luar negara yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup telah dibangkitkan kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam lawatan kerja Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid ke United Kingdom (UK) pada Jun lalu, Kelab UMNO United Kingdom dan Ireland telah menyerahkan memorandum berkaitan isu berkenaan.

Pengerusinya, Muhammad Iman Irfan Yahya menyatakan, memorandum tersebut disediakan berdasarkan kajian melibatkan 400 pelajar tajaan Mara dan agensi lain sebagai responden.

Dalam kajian itu, para pelajar tajaan Mara memohon supaya elaun kehidupan harian mereka ditambah kerana kos sara hidup di UK semakin meningkat, antaranya bekalan elektrik, air, gas, pengangkutan awam dan sewa rumah.

Selain itu, penstrukturan semula elaun sara hidup bagi pelajar tajaan Mara perlu dilakukan setelah hampir 12 tahun tidak dikaji kesesuaiannya mengikut cabaran ekonomi dunia, terutama dalam tempoh pasca Covid-19. Bahkan, kadar ringgit yang semakin rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) juga menekan kehidupan pelajar yang kebanyakan elaun berkenaan dihabiskan untuk membayar sewa rumah serta keperluan harian.

Badan Perhubungan Negara United Kingdom and Eire (BPN UKE) pernah menyuarakan isu berkenaan dan menggesa satu langkah segera digerakkan bagi meringankan beban pelajar terlibat.

BPN UKE dalam satu kenyataan menjelaskan, indeks harga makanan naik mendadak dengan kadar 5.9 peratus pada Mac 2022, tertinggi dalam tempoh 10 tahun. Bagi indeks harga sewa pula meningkat 12.9 peratus sejak tahun 2015.

Menurut kenyataan itu, tinjauan JPA-Mara Special Operation pada Februari lalu menunjukkan di kota-kota utama seperti Bristol, Edinburgh dan London, lebih 60 pelajar tajaan majoritinya golongan B40 terbeban dengan perbelanjaan harian mereka. Jelasnya, rata-rata pelajar tajaan di kawasan-kawasan itu terpaksa menanggung purata £500 hingga £730 (RM2,732 hingga RM3,990) sebulan untuk membayar sewa rumah dan bil utiliti.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia mencakupi 60 hingga 70 peratus daripada elaun diterima menjadikan hanya 30 hingga 40 peratus baki untuk perbelanjaan rumah, universiti, peribadi dan kecemasan.

Akhirnya, perjuangan mereka bernoktah apabila Perdana Menteri mengumumkan pada Sabtu bahawa kerajaan bersetuju menaikkan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) berkuat kuasa bulan ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan kadar ESH baharu bagi pelajar dalam negara dinaikkan minimum RM650 sehingga maksimum RM950 sebulan bermula peringkat diploma sehingga doktor falsafah dan profesional.

“Bagi kadar ESH bagi pelajar luar negara dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sehingga maksimum RM7,600 sebulan, bermula peringkat ijazah sarjana muda sehingga peringkat doktor falsafah dan peringkat profesional,” katanya.

Kenaikan kadar ESH ini akan memberi manfaat kepada seramai 62,998 pelajar Mara di dalam dan luar negara.

Ketika ini, terdapat seramai 4,149 pelajar tajaan Mara sedang mengikuti pengajian di luar negara dan daripada jumlah itu, seramai 1,049 pelajar sedang mengikuti pengajian di 24 universiti dalam senarai 50 universiti terbaik dunia. Pada masa sama, pelajar tajaan Mara dalam negara ialah seramai 58,849 orang.

Adalah diharapkan dengan penstrukturan baharu ESH, para pelajar tajaan Mara dapat fokus kepada pelajaran masing-masing. Sebelum ini terdapat para pelajar yang bekerja sambilan bagi menampung kehidupan mereka di luar negara.

Lebih teruk, kekurangan duit memaksa kebanyakan pelajar mengikat perut serta mendapatkan penempatan yang jauh dari universiti bagi mengurangkan bajet. Keadaan itu membuatkan mereka penat ketika menghadiri kuliah dan sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan dalam pelajaran.

Manfaat daripada kenaikan kadar ESH ini bukan hanya dinikmati oleh pelajar Malaysia di luar negara, malah pelajar Malaysia di dalam negara yang menerima biasiswa tajaan Mara-JPA.

Secara tidak langsung, ia menaikkan semangat para pelajar dalam mencatatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan, bahkan mendorong pelajar cemerlang yang lain untuk memohon biasiswa tajaan Mara-JPA pada masa hadapan.

* Mohd Nasri Jamaludin ialah Editor Pengisian Sinar Harian