Segera laksana manifesto PRN Johor sebelum PRU15

Dr Adham ketika berucap merasmikan Program Bicara Bengkel Teknologi Maklumat Media Sosial Veteran UMNO di Pejabat UMNO Johor, Johor Bahru pada Ahad.
Dr Adham ketika berucap merasmikan Program Bicara Bengkel Teknologi Maklumat Media Sosial Veteran UMNO di Pejabat UMNO Johor, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri perlu melaksanakan segera janji-janji dalam Ikhtiar Johor iaitu manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, langkah itu bagi meningkatkan keyakinan pengundi pada PRU15 kerana tidak mahu berlaku sebagaimana Pakatan Harapan (PH) yang kalah dalam PRN akibat tidak menunaikan janji.

"Jadi kita hendak kembalikan keyakinan dan kestabilan, kita perlu laksana ikhtiar itu dengan cekap dan disegerakan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Bicara Teknologi Maklumat Media Sosial Veteran UMNO Johor di Pejabat UMNO Johor di sini pada Ahad.

Selain itu, beliau berharap Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad akan menyegerakan pelantikan pengarah pilihan raya bahagian dalam usaha melicinkan pergerakan jentera di peringkat bahagian.

Jelas Ahli Parlimen Tenggara itu, kelewatan pelantikan tersebut akan mengakibatkan pergerakan jentera kurang sistematik dan lambat diselaraskan.

Selain itu katanya, BN tidak boleh meletakkan calon sebarangan sekiranya ingin menang di semua kerusi yang ditandingi pada PRU15.

Beliau tidak menafikan BN mempunyai calon muda yang berwibawa dalam kalangan Pemuda dan Puteri UMNO, namun calon berpengalaman dilihat perlu diberikan keutamaan untuk bertanding.

UMNO katanya, perlu diwakili calon lebih berpengalaman dan berketrampilan terutama mampu berbahas di Dewan Rakyat kerana pelbagai isu mencabar, bersifat lebih global dan berskala besar akan diutarakan selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan ini berbeza dengan PRN Johor yang berlangsung sebelum ini. Kerajaan negeri dipimpin oleh orang muda dan kesemua barisan Exco juga adalah muka baharu.

"Kita kali ini nak bertanding di peringkat Parlimen, bukannya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana kita akan berdepan dengan macam-macam isu antarabangsa yang dihadapi seperti krisis makanan, peperangan, rantaian bekalan dan sebagainya," ujar beliau.

Ditanya mengenai peratusan calon berpengalaman dan muka baharu yang akan diketengahkan, Dr Adham yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, perkara berkenaan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskannya.