Gembira walau gagal ke final

Dua pasukan Palestin yang beraksi di FPPM 2022.
Dua pasukan Palestin yang beraksi di FPPM 2022.
A
A
A

BIARPUN gagal mara ke aksi final pertandingan Futsal Piala Palestin Merdeka (FPPM) 2022, pasukan futsal dari Palestin tetap gembira apabila dapat beraksi pada pertandingan berkenaan.

Perkara itu ditegaskan wakil pasukan Palestin, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Abu Shammalah yang menyifatkan penyertaan pasukan Palestin lebih kepada menyokong usaha daripada pihak Boikot, Lupus, Sekat (BDS) Malaysia dan Cinta Gaza Malaysia terhadap isu Palestin.

“Alhamdulillah, kami berterima kasih atas sokongan yang diberikan kepada Palestin, cuma kali ini sokongan berkenaan dizahirkan menerusi acara sukan.

“Kami gembira berada di sini dan beraksi dengan pasukan-pasukan dari Malaysia yang rata-ratanya telah beraksi dengan baik.

“Secara keseluruhannya, saya melihat ia sebagai satu usaha yang baik kerana menerusi sukan ia akan mampu menarik sokongan daripada golongan muda terhadap isu (perjuangan) Palestin ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Untuk rekod, Palestin menyenaraikan dua pasukan pada FPPM kali ini, namun kedua-dua pasukan berkenaan gagal mara ke suku akhir apabila terkandas pada saingan peringkat awal.

Sementara itu, Sharif berkata, pihaknya berbesar hati untuk menyertai pertandingan berkenaan pada masa akan datang.

Sharif
Sharif

Artikel Berkaitan:

Katanya, pasukan Palestin juga akan cuba untuk mara lebih jauh dan berusaha untuk memenangi pertandingan itu kelak.

“Seperti saya katakan tadi, kami memang gembira kerana dapat beraksi dalam pertandingan ini walaupun gagal ke final.

“Apa pun matlamat utama kami adalah untuk beraksi dengan pasukan-pasukan handalan dari Malaysia dan dalam masa sama dapat menyampaikan mesej mengenai Palestin kepada rakyat negara ini dan juga dunia,” katanya.


Senarai pemenang Futsal Piala Palestin Merdeka (FPPM) 2022

Juara: Vamos Old KK

Naib juara: TOT United

Tempat ketiga/keempat: KD FT / Fussa Kaiser B

Tempat kelima: Fussa Kaiser A

Tempat keenam: ZM FT

Tempat ketujuh: Fauzio FC 1

Tempat kelapan: Domc FC

Pemain terbaik: Muhammad Ilysha Alimi Zukarnain (Vamos Old KK)

Pasukan paling bersemangat: Naisero FT

Pasukan paling ceria: Kepok FC