Tiga termasuk sarjan, inspektor ditahan peras ugut pegawai polis

SPRM
SPRM
A
A
A

SHAH ALAM - Dua anggota polis dan seorang pengurus syarikat ditahan kerana disyaki cuba memeras ugut seorang pegawai polis sebanyak RM100,000 kononnya untuk menutup kes membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, SPRM menahan dua anggota polis berusia lingkungan 30-an berpangkat inspektor dan sarjan itu antara jam 7 malam hingga 12 tengah malam pada Jumaat di sekitar ibu negara.

"Pengurus syarikat berkenaan ditahan pagi Jumaat di sekitar Kuala Lumpur ketika menerima wang rasuah berjumlah RM50,000 iaitu sebahagian daripada jumlah yang diminta daripada mangsa.

"Pengurus pentadbiran syarikat berkenaan berperanan sebagai orang tengah bagi meminta dan menerima wang rasuah itu," menurut sumber pada Sabtu.

Sumber terbabit memaklumkan, kedua-dua anggota polis berkenaan telah dibebaskan selepas selesai dirakam keterangan.

Tambahnya, pengurus syarikat terbabit direman empat hari bermula Jumaat sehingga Isnin bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: