NSFC idam naib juara Liga Super 2022

Pemain Negeri Sembilan meraikan jaringan gol oleh Gustavo Dos Santos ketika menentang Sarawak United pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam tadi. - Foto Bernama
Pemain Negeri Sembilan meraikan jaringan gol oleh Gustavo Dos Santos ketika menentang Sarawak United pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Negeri sembilan FC (NSFC), K Devan percaya pasukannya masih mampu untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua liga selepas berjaya menewaskan Sarawak United 3-2 pada Jumaat.

Meskipun sedar ia bukanlah satu tugas mudah tatkala mereka perlu berhadapan dengan pencabar utama termasuk Johor Darul Ta`zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC, beliau yakin sekiranya pasukan dapat mempamerkan aksi konsisten dan fokus dalam baki empat aksi, gelaran naib juara akan berada dalam genggaman.

"Melihat kepada keputusan perlawanan malam ini, saya rasa kita berpeluang untuk menamatkan saingan liga musim ini di kedudukan lebih baik iaitu di tempat kedua carta memandangkan ada baki empat perlawanan lagi.

"Kita kena fokus empat perlawanan, dalam aksi itu nanti akan membabitkan dua perlawanan di tempat sendiri iaitu bertemu dengan Kedah dan juga Melaka United FC sebelum mengakhiri saingan Liga Super bertemu Sri Pahang FC.

"Dengan prestasi yang dipamerkan buat masa ini dan juga semangat pemain, saya rasa kita boleh kutip mata pada baki perlawanan ini untuk menamatkan saingan di tempat lebih baik. Tapi kalau boleh, kita hendak kekalkan di tempat ketiga musim ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Paroi malam tadi, dua penyerang import NSFC dari Brazil iaitu Gustavo Dos Santos dan Matheus Alves menjaringkan gol ketika membantu pasukan mereka menewaskan Sarawak United 3-2.

Dua gol Sarawak masing-masing dijaringkan Raja Imran Shah Raja Amin dan Nur Shamie Iszuan Amin.

Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan prestasi semasa anak buahnya, Devan mengakui beliau nyata berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan meskipun turun tanpa tiga tonggak utama.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, di sebalik kemenangan tersebut, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan pasukannya yang melepaskan dua gol kepada pihak lawan.

“Malam ini, saya turunkan Khair Jones bagi menggantikan Khuzaimi (Piee) yang dikenakan dua penggantungan, namun Khair dapat beraksi baik dalam membantu bahagian pertahanan.

“Sebenarnya kita turun tanpa tiga tonggak utama termasuk dua lagi iaitu Saiful (Ridzuan Selamat) dan Mohamad Zamri (Ramli),” ujarnya,

Untuk rekod, juara liga perdana musim lalu itu kini berada di tangga ketiga mengumpul 35 mata dalam 18 perlawanan hanya ketinggalan satu mata di belakang Sabah FC di tangga kedua dengan 36 mata.