Kerajaan gagal tangani masalah anak muda

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad
A
A
A

PETALING JAYA - Kerajaan didakwa gagal menangani isu pengangguran yang berlaku dalam kalangan anak muda.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Malaysia melahirkan ramai graduan namun majoritinya gagal memperolehi pekerjaan yang setimpal dengan jurusan masing-masing.

Menurutnya, generasi tersebut juga terpaksa menanggung beban hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Apa yang menyedihkan ramai antara mereka terpaksa menyara diri dengan pekerjaan tidak tetap seperti menjadi penghantar makanan.

"Betul, pendapatannya agak lumayan mencecah RM3,000 ke RM4,000 sebulan namun adakah pekerjaan itu benar-benar terjamin.

"Ada seorang graduan jurusan Sains Komputer yang tidak mendapat peluang kerja dalam bidangnya, kemudian terpaksa menyara hidup dengan kerja sebagai penghantar makanan selama tiga tahun.

"Kemudian dia dapat peluang untuk mohon pekerjaan mengikut bidangnya, namun adakah majikan yakin untuk mengambil mereka yang tiada pengalaman bekerja dalam syarikat," katanya ketika berucap pada Program Pentas Angkatan Muda di Taman Medan di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Suasana pengunjung yang hadir pada Program Pentas Angkatan Muda di Taman Medan.
Suasana pengunjung yang hadir pada Program Pentas Angkatan Muda di Taman Medan.

Hadir sama, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden PKR merangkap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa turut mempersoalkan tentang begitu banyak elaun yang dinikmati oleh pimpinan kerajaan namun kebajikan rakyat masih belum terbela.

"Sebab itu kita tengok pemimpin kita cukup bergaya sekejap tukar baju baru. Nasib baik rakyat boleh tahu informasi begini dengan buat carian di internet. Rupa-rupanya baju yang dipakai berharga RM5,000. Inilah masalah kepimpinan yang berlaku dalam negara ini," kata beliau.