Perolehan LCS keperluan kritikal: TLDM

Media dibawa meninjau perkembangan pembinaan LCS 1 baru-baru ini.
Media dibawa meninjau perkembangan pembinaan LCS 1 baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengakui perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) merupakan keperluan kritikal operasi TLDM.

TLDM berkata, agensi itu menghargai dan mengalu-alukan perancangan Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan perolehan kapal LCS batch (kumpulan) kedua dengan persenjataan yang lebih lengkap dan berkemampuan tinggi.

“Ini merupakan keperluan kritikal operasi TLDM,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, TLDM turut menyambut baik komitmen bertulis Kerajaan Perancis yang diserahkan kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 1 September 2022 bahawa meneruskan dan menyelesaikan projek LCS merupakan keutamaan Kerajaan Perancis.

“Komitmen Kerajaan Perancis ini merupakan satu perkembangan yang signifikan dalam usaha menerus dan menyiapkan projek LCS," katanya.

Tambah kenyataan itu, sebagai end user (pengguna akhir), sebarang usaha yang membolehkan TLDM memiliki dan memanfaatkan aset ini dengan kadar segera amat disokong.

“Ia sememangnya penting bagi memperkukuh ketumbukan armada negara bersesuaian dengan Pelan Transformasi TLDM 15to5,” katanya.

Jelas TLDM, fasa mobilisasi dalam tempoh enam bulan ini merupakan fasa yang sangat mustahak dan memerlukan kerjasama serta komitmen sepenuhnya daripada semua pemegang taruh termasuk TLDM sendiri.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Perancis pada 2 September lalu meletakkan keutamaan tertinggi untuk meneruskan dan menyiapkan LCS.

Komitmen itu dinyatakan Hishammuddin menerusi pertemuan beliau bersama pihak kerajaan Perancis.