Piala FA: Farizal enggan panaskan bangku simpanan

Farizal ketika ditemui pada sidang media pra perlawanan final Piala FA menentang Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Farizal ketika ditemui pada sidang media pra perlawanan final Piala FA menentang Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
A
A
A

PENJAGA gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias berazam mahu menjulang Piala FA pertamanya bersama pasukan tersebut.

Justeru, penjaga gol skuad kebangsaan itu berjanji akan mempamerkan aksi yang terbaik sekiranya diberi tanggungjawab untuk menjaga gawang pasukan Harimau Selatan itu pada perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu pada Sabtu.

"Saya sudah lama bersama JDT tetapi pada final Piala FA sebelum ini, saya digantung. Jadi ini (Piala FA 2022) adalah final pertama untuk saya, jadi secara peribadinya ia akan menjadi satu perlawanan yang istimewa buat saya jika diturunkan.

"Saya akan memberikan yang terbaik untuk membawa Piala FA ke bumi Johor," kata Farizal pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Jumaat.

Untuk rekod, ketika JDT muncul juara Piala FA pada 2016, Izham Tarmizi Roslan diberi tugas sebagai penjaga gol utama dengan Farizal berada di bangku simpanan.

Mengulas lanjut persediaan pasukan menjelang sepak mula jam 9 malam esok, penjaga gol kebangsaan itu mengakui 'mood' pasukan berada pada tahap yang tertinggi dan semangat pemain berkobar-kobar untuk menghadapi perlawanan penting ini.

"Saya percaya semua pemain bersedia untuk beraksi pada malam esok. Kita lihat moral dan komitmen diberikan pemain juga sangat baik.

"Saya harap perkara baik seperti ini dapat dibawa untuk perlawanan final nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Farizal turut mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak melakukan kesilapan sekiranya mahu melihat JDT menjulang kejuaraan buat kali ketiga dalam sejarah Piala FA yang diperkenalkan pada 1990.

“Terengganu satu pasukan yang konsisten dari segi permainan mereka. Kemampuan memegang bola juga baik.

“Serangan mereka juga baik, jadi kita harus mengurangkan kesalahan di bahagian pertahanan supaya tidak memberi ruang mereka menjaringkan gol,” ujarnya.