Isteri bekerja layak carum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah

Isteri bekerja layak mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kerana golongan itu masih berisiko berdepan kemalangan semasa menjalankan kerja-kerja rumah. (Gambar hiasan)
Isteri bekerja layak mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kerana golongan itu masih berisiko berdepan kemalangan semasa menjalankan kerja-kerja rumah. (Gambar hiasan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan suri rumah yang bekerja juga layak mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) meskipun sudah mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohamed berkata, ini kerana golongan itu masih berisiko berdepan kecelakaan atau kemalangan selepas waktu bekerja semasa menjalankan kerja-kerja rumah.

Justeru menurutnya, menerusi SKSSR pencarum boleh menerima manfaat jika berlaku kemalangan semasa menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumah.

"Kemalangan semasa membuat kerja rumah tidak akan dilindungi oleh Akta 4, kecuali Skim Keilatan seperti mengalami strok semasa berada di rumah.

“Jika berlaku kecelakaan seperti strok ini, suri rumah yang bekerja itu boleh memilih skim lebih baik untuk membuat tuntutan iaitu Akta 4.

“Namun begitu, jika berlaku kemalangan seperti terjatuh dan cedera semasa membuat kerja rumah atau kemalangan semasa menghantar anak ke sekolah, mereka boleh membuat tuntutan melalui SKSSR,” katanya kepada pemberita pada sesi temu bual di Menara Perkeso di sini pada Jumaat.

SKSSR merupakan skim yang terletak di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 dan boleh mula didaftarkan pada 1 Disember depan.

Skim tersebut akan memberikan perlindungan kepada wanita yang berkahwin atau belum berkahwin, janda atau balu, ibu tunggal warga Malaysia serta pemastautin tetap.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, skim tersebut adalah secara sukarela dan caruman bagi tempoh 12 bulan sebanyak RM120 perlu dibayar sebagai bayaran perlindungan bagi tempoh tersebut.

Katanya, tiada had gaji ditetapkan bagi melayakkan golongan sasar mencarum skim berkenaan.

“Walau tiada paksaan untuk caruman, namun suami atau pihak yang membuat caruman tersebut perlu komited membuat bayaran apabila telah mendaftar dengan skim ini.

“Jika berlaku perceraian, suami kehilangan pekerjaan atau kemalangan yang menyebabkan tidak mampu membuat bayaran, mereka boleh memohon untuk membatalkan caruman dalam tempoh 60 hari.

“Namun begitu, alasan yang diberikan perlulah munasabah," katanya.