Rizq Plus produk pelaburan pertama Bank Rakyat

Zainol dan Noor Azilla pada sidang akhbar pengenalan Akaun Pelaburan-i Rizq di Menara Kembar Bank Rakyat pada Jumaat.
Zainol dan Noor Azilla pada sidang akhbar pengenalan Akaun Pelaburan-i Rizq di Menara Kembar Bank Rakyat pada Jumaat.
A
A
A

HANYA serendah RM100, pemegang Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai keseluruhan bernilai RM1 juta.

Naib Presiden Deposit Bank Rakyat, Noor Azilla Nasarudin berkata, Rizq Plus merupakan produk pelaburan Bank Rakyat yang pertama menawarkan pelaburan selamat dan patuh syariah.

Menurutnya, peluang pelaburan ini terbuka kepada pelanggan individu atau secara bersama atau pemegang akaun amanah yang berusia 18 tahun dan ke atas.

"Bukan warganegara juga boleh melabur menerusi akaun ini. Pembukaan akaun adalah RM100 dan pelabur perlu mengekalkan baki minimum RM50.

"Berkonsep Mudarabah, pelaburan tidak mempunyai sebarang tempoh minimum dan maksimum malah pelanggan boleh meningkatkan atau mengeluarkan pelaburan mereka pada bila-bila masa," katanya pada sidang akhbar pengenalan Akaun Pelaburan-i Rizq di Menara Kembar Bank Rakyat di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, menerusi konsep Mudarabah juga, keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan akan dikongsi mengikut Nisbah Perkongsian Keuntungan yang dipersetujui bersama.

Jelasnya, sejak dilancarkan pada 15 Julai lalu sebanyak 1,000 pemegang akaun telah berdaftar dan menyasarkan 60,000 pemegang akaun didaftarkan secara tahunan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Pengurus Pengurusan Akaun Pelaburan Bank Rakyat, Zainol Osman berkata, hadiah RM1juta akan dibahagikan menerusi cabutan bertuah yang diadakan secara bulanan dan setiap setengah tahun.

"Dua pemenang utama cabutan bulanan akan menerima RM10,000 manakala cabutan setengah tahun menawarkan hadiah RM100,000 kepada seorang pemenang.

"Pemenang bertuah akan dipilih secara rawak dan hadiah akan dikredit terus ke dalam pelaburan mereka," katanya.

Tambahnya, pelabur yang mempunyai akaun aktif dan tidak diklasifikasi akaun dibekukan layak menyertai cabutan bertuah itu dan tidak layak kepada pemegang akaun yang telah meninggal dunia.

Katanya, pelanggan boleh mendapatkan maklumat berhubung Akaun Pelaburan-i Rizq Plus menerusi laman web dan media sosial rasmi Bank Rakyat, perkhidmatan perbankan internet iRakyat atau memghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454 atau mengunjungi cawangan Bank Rakyat berhampiran.