Dua bot ditahan langgar syarat lesen

Dua bot ditahan selepas didapati melanggar syarat lesen. Foto: Maritim Malaysia
Dua bot ditahan selepas didapati melanggar syarat lesen. Foto: Maritim Malaysia
A
A
A

PARIT BUNTAR - Lima nelayan tempatan ditahan bersama 200 kilogram ikan selepas didapati melanggar syarat lesen ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di kedudukan 7.7 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau di sini pada Rabu.

Kelima-lima mereka termasuk tekong berusia lingkungan 49 hingga 68 tahun ditahan hasil rondaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kurau sekitar jam 11.05 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan, pasukan operasi Maritim Malaysia telah mengesan dua bot sedang menunda pukat dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas dua bot itu menemukan lima nelayan termasuk tekong dan semakan dokumen mendapati, pasangan bot kenka terbabit bukanlah seperti dinyatakan dalam lesen.

"Kita dapati, bot terbabit tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya.

"Selain itu, kedua-dua bot turut menunda pukat di kawasan yang tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, semua nelayan, bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.

Artikel Berkaitan:

"Maritim Malaysia menasihatkan kepada semua komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut demi kesejahteraan bersama," katanya.

Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919.