Warga emas digesa ambil vaksin influenza setiap tahun

Noor Azmi (empat dari kiri) semasa merasmikan kempen Mencegah Influenza Pada Usia Menjangkau 65 Tahun anjuran Immunise4Life (IFL) pada Khamis.
Noor Azmi (empat dari kiri) semasa merasmikan kempen Mencegah Influenza Pada Usia Menjangkau 65 Tahun anjuran Immunise4Life (IFL) pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa warga emas mendapatkan vaksin influenza setiap tahun untuk mencegah penyakit tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, vaksinasi influenza adalah salah satu cara terbaik untuk mengurangkan risiko penyakit teruk, kemasukan ke hospital dan kematian.

"Selain itu, sangat penting mengamalkan pemakanan yang sihat, melakukan aktiviti fizikal secara kerap, mendapatkan rehat dan tidur yang cukup, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, mempelajari kemahiran-kemahiran baharu dan bergaul dengan orang tersayang serta rakan-rakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa merasmikan kempen Mencegah Influenza Pada Usia Menjangkau 65 Tahun dengan tema Pencegahan Influenza, akan Ku Laksanakan anjuran Immunise4Life (IFL), di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal IFL Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, vaksinasi influenza tahunan terbukti dapat mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian berkaitan influenza sebanyak lebih 40 peratus.

"Selain itu, suntikan tahunan vaksinasi tersebut juga memberi manfaat kepada mereka yang menghidap diabetes dengan mengurangkan risiko strok (sebanyak 30 peratus), kegagalan jantung (22 peratus) dan serangan jantung (19 peratus).

"Bagi pesakit jantung, vaksinasi influenza mengurangkan kemungkinan peristiwa kardiovaskular utama sebanyak 36 peratus.

"Kemungkinan mengalami kematian berkurang sebanyak 18 peratus dalam kalangan orang yang mengalami kegagalan jantung. Individu yang baru sahaja mengalami sindrom koronari akut dapat mengurangkan risiko kesan buruk sebanyak 45 peratus," katanya.

Artikel Berkaitan: