Tugas 'menghukum' di bawah kuasa pihak berautoriti: Zulkifli

Tangkap layar Facebook Zulkifli.
Tangkap layar Facebook Zulkifli.
A
A
A

SHAH ALAM - Tugas ‘menghukum’ bagi isu penganiayaan seorang bapa terhadap anak perempuannya dari sudut seksual dan emosi terletak di bawah bidang kuasa pihak berautoriti.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, atas faktor tersebut, masyarakat perlu dididik untuk bersikap lebih berhati-hati.

Menurutnya, apabila berlaku konflik kekeluargaan seperti yang tular baru-baru ini, ia adalah saat terbaik masyarakat untuk kembali muhasabah peranan masing-masing sebagai anak dan ibu bapa serta memperkukuh kekurangan yang ada dalam keluarga masing-masing.

"Dari sinilah baru kita belajar tentang keperluan pemeliharaan aib dan kepentingan untuk menyalurkan masalah hanya kepada pihak berautoriti.

“Sistem sokongan seperti ini tidak akan berhasil tanpa ibu bapa dan ahli keluarga yang cakna serta benar-benar memainkan peranannya.

“Kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada sistem perundangan kita. Selain itu, sebagai Muslim kita yakin ALLAH SWT Maha Adil lagi Bijaksana. Besarnya tanggungjawab ibu bapa, besar juga dosa yang ditanggung jika amanah tidak dilunaskan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, Zulkifli turut menegaskan isu berkenaan bukanlah satu isu yang kecil.

“Saya tidak pasti kebenarannya kerana satu-satunya kaedah untuk mensahihkannya adalah muka pengadilan. Tindakan untuk melaporkan ke balai polis adalah amat wajar dan paling utama.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum kita membangkitkan tentang aib, perkara yang lebih penting untuk kita muhasabah bersama adalah bagaimana sepatutnya sistem keibubapaan berfungsi sebagai tempat untuk anak-anak mengadu dan melaporkan sebarang masalah.

“Apakah respon mereka? Bagaimana tindakan mereka? Ia akan menentukan bagaimana kesudahannya bagi si anak sama ada masalah itu dipendam dan anak terus merana, atau dibongkar sehingga orang ramai pula yang menghakimi,” jelas beliau.

Sebelum ini, media melaporkan bapa kandung seorang pelakon remaja perempuan ditahan polis susulan laporan polis dibuat anaknya membabitkan kes serangan seksual, pengabaian dan memiliki bahan lucah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dilaporkan berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di Kedah, kira-kira jam 2.25 petang pada Selasa.