Pengguna terus hadapi isu miliki rumah: Property Guru

(Gzambar kecil: Fernandez) Rakyat Malaysia terus berhadapan isu kemampuan membeli rumah ketika ini. - Gambar hiasan
(Gzambar kecil: Fernandez) Rakyat Malaysia terus berhadapan isu kemampuan membeli rumah ketika ini. - Gambar hiasan
A
A
A

RAKYAT Malaysia terus berhadapan isu kemampuan membeli rumah dengan 51 peratus daripadanya percaya mereka tidak layak mendapatkan skim perumahan mampu milik kerajaan dan mampu membeli hartanah tanpa bantuan kewangan.

Demikian merupakan dapatan daripada Kajian Sentimen Pengguna Dwitahunan untuk Separuh Kedua (H2) tahun 2022 (CSS H2 2022) dikeluarkan portal hartanah terkemuka, Property Guru Malaysia (Property Guru).

Antara faktor menyumbang kepada perkara tersebut adalah kenaikan kadar dasar semalam (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus pada Julai lalu.

“Di samping itu, dengan peningkatan indeks harga pengguna (IHP) kepada paras tertinggi iaitu 4.4 peratus untuk tahun ke tahun, bakal pembeli rumah juga mungkin terus berdepan dengan isu kemampuan di tengah-tengah kebimbangan berhubung kemelesetan global dan kadar inflasi berterusan,” menurut portal tersebut dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kajian itu turut mendapati 73 peratus daripada responden mempunyai pemahaman jelas tentang syarat kelayakan perumahan mampu milik, menunjukkan bahawa bakal pembeli rumah bakal terus mencari inisiatif perumahan kerajaan lain bagi membantu usaha pemilikan rumah mereka.

Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, berdasarkan kajian berkenaan, pengguna dilihat mempunyai kesedaran kukuh tentang inisiatif kerajaan dan kelayakan untuk perumahan mampu milik.

“Dengan kemelesetan yang berterusan, inflasi, kenaikan harga dan kenaikan OPR, kami menjangkakan bakal pembeli rumah meneruskan pendekatan tunggu dan lihat sehingga kos sara hidup keseluruhan menjadi stabil.

“Bagi pengumuman Bajet 2023 tidak lama lagi, kami berharap akan ada peruntukan yang boleh membantu memacu pasaran hartanah dan mereka yang merancang untuk memulakan perjalanan pemilikan rumah.

Artikel Berkaitan:

“CSS H2 2022 juga telah menunjukkan bahawa lebih daripada 69 peraTus daripada mereka yang ditinjau merancang untuk membeli rumah jika Kempen Pemilikan Rumah dihidupkan semula,” ujar beliau.

Dalam pada itu, kajian tersebut juga mendapati trend pembelian rumah melalui platform dalam talian terus menjadi pilihan pengguna dengan lebih separuh daripada responden dalam melihat bahawa teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), platform pengagregatan hartanah dan masyarakat perumahan digital akan membantu mereka dalam usaha memiliki rumah.

Trend berkenaan menunjukkan bahawa teknologi bakal terus memainkan peranan utama dalam pasaran hartanah manakala permintaan bagi kebolehcapaian digital kepada keputusan berkaitan hartanah mungkin berterusan pada tahun akan datang.

“Sebagai syarikat teknologi hartanah terkemuka, penemuan ini membuktikan bahawa penyediaan platform membantu membimbing pengguna dalam membuat keputusan hartanah termaklum adalah bahagian penting dalam perjalanan pembeli rumah.

“Cara pengguna mencerna maklumat dan membuat transaksi sedang berkembang, itulah sebabnya kami berusaha untuk menjadi platform inovatif yang boleh membantu bakal pembeli rumah mencapai matlamat mereka dengan mudah dan dengan bimbingan sebanyak mungkin,” kata Sheldon.

Beliau menjelaskan, tinjauan dilakukan turut mendapati bakal pembeli rumah juga telah mula mempertimbangkan untuk membeli hartanah dalam platform metaverse.

Menurut beliau, trend berkenaan berkemungkinan terus berlaku kerana pengguna di Malaysia telah menyesuaikan diri dengan baik kepada penyelesaian dan platform digital lebih daripada sebelumnya sejak dua tahun lalu.

“Kami berminat untuk melihat bagaimana teknologi baru muncul akan berubah dan berkembang dalam industri pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.

SH: Impak alam sekitar mengubah pandangan pembeli mengenai lokasi rumah.

Sementara itu, CSS H2 2022 mendapati pengguna kini mengambil kira kelestarian dalam pemilihan ciri rumah sebagai pertimbangan utama semasa membeli rumah.

Kajian itu turut menunjukkan bahawa responden menyatakan panel solar, rainwater harvesting dan pengkomposan sisa makanan merupakan ciri penting perlu dimiliki pada masa hadapan.

Satu daripada tiga responden dalam kajian tersebut yang berpendapatan tinggi juga berminat untuk membayar lebih bagi hartanah dengan port pengecasan Kenderaan Elektrik (EV).

“Walaupun lokasi sentiasa menjadi salah satu pertimbangan utama bagi pencari rumah di Malaysia, kita kini akan melihat lebih ramai orang semakin mengutamakan perkara ini berikutan kejadian banjir pada tahun lalu.

“Kesedaran yang lebih tinggi tentang kemudahan dan ciri mesra alam mungkin dikaitkan dengan isu perubahan iklim yang berterusan juga.

“Pengguna kini lebih peka terhadap isu semasa dan kini membuat keputusan mesra alam dengan harapan dapat membuat perubahan,” menurutnya.

Beliau berkata, bencana alam juga memberi kesan terhadap sentimen bakal pembeli rumah, dengan 66 peratus daripada responden memaklumkan mereka sanggup membayar premium insurans lebih tinggi ke atas harta mereka bagi berhadapan dengan isu perubahan cuaca.

tamat