Budak ditemui lemas disyaki tersepit celah batu

Keadaan lokasi kejadian di Kampung Pasir Puteh, pada Rabu.
Keadaan lokasi kejadian di Kampung Pasir Puteh, pada Rabu.
A
A
A

HULU SELANGOR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ditemui lemas disyaki tersepit di celah batu ketika mandi sungai di Kampung Pasir Puteh, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan yang memaklumkan mengenai insiden itu pada jam 4.55 petang.

"Wanita berusia 34 tahun itu telah menerima pesakit seorang kanak-kanak perempuan yang telah dibawa oleh ibu bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan tangan dan muka kebiruan ke Klinik Kesihatan Kalumpang.

"Pengadu dimaklumkan oleh ibu bapa mangsa, anaknya tersepit di celah batu semasa mandi di sungai," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Suffian berkata, orang awam yang berada di tempat kejadian cuba memberikan bantuan penafasan, namun gagal.

"Hasil siasatan polis mendapati mangsa telah lemas di sungai yang berkedalaman kira-kira 0.6 meter.

"Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati kanak-kanak tersebut meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, hasil bedah siasat telah dijalankan oleh pihak Hospital Kuala Kubu Bharu dan mendapati punca kematian adalah lemas (drowing).

Artikel Berkaitan:

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Suffian berkata, orang ramai perlu sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti riadah di pusat rekreasi terutama pada musim hujan.