POPIC 2022: Adib laung amaran awal

Adib (tiga dari kiri) mengungguli kategori kebangsaan TK1 lelaki selepas muncul juara Peringkat 1 POPIC 2022 di Pantai Hiburan, Rompin pada Rabu. - Foto POPIC 2022
Adib (tiga dari kiri) mengungguli kategori kebangsaan TK1 lelaki selepas muncul juara Peringkat 1 POPIC 2022 di Pantai Hiburan, Rompin pada Rabu. - Foto POPIC 2022
A
A
A

WAKIL Pahang, Mohd Adib Kamaruzrizan muncul pendahulu kategori kebangsaan TK1 lelaki selepas muncul juara Peringkat 1 Kejuaraan Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) di Pantai Hiburan, Rompin pada Rabu.

Dalam perlumbaan sejauh 14 kilometer itu, Adib merekodkan masa keseluruhan 1 jam 14 minit 05.35 saat bagi meninggalkan dua pencabar terdekatnya, Daing Sulaiman Daing Suhaimi (1’14:50.58s) dan Freddy Anggang (1’15:51.36s).

“Syukur alhamdulillah saya berjaya memenangi perlumbaan hari ini. Cuma cabaran utama yang saya hadapi pada perlumbaan hari ini (Rabu) adalah ombak kerana saya sudah lama tak bersaing dalam acara TK1 di laut.

“Bagi perlumbaan Peringkat 2 di Pekan esok (Khamis), saya akan cuba mengekalkan momentum ini untuk terus berada di tempat pertama. Paling penting, mental kena kuat kerana saya sedar cabaran daripada peserta Terengganu dan PDRM,” katanya.

Selaku juara Peringkat 1, Adib yang berusia 24 tahun mendapat RM800 manakala Daing Sulaiman dan Freddy masing-masing membawa pulang RM500 dan RM300 selaku pemenang tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, gandingan berpengalaman, Ahmad Azfaruddin Lukman-Imam Sujadi Satta dan pasangan adik-beradik, Nor Azita-Nursaibah Syahida Ibrahim menepati ramalan apabila masing-masing menjuarai kategori kebangsaan TK2 lelaki dan wanita.

Azfaruddin-Imam Sujadi mengesahkan kemenangan apabila merakam masa keseluruhan 1:09:54.23s manakala Nor Azita-Nursaibah merekodkan catatan 1:17:57.32s bagi membolehkan kedua-dua gandingan itu muncul pendahulu Peringkat 1.

“Kami tidak boleh berasa selesa kerana perbezaan masa hanya kira-kira 2s dan jaraknya lebih kurang 500 meter. Jadi kami akan cuba mengekalkan rentak pada Peringkat 2 esok (Khamis) untuk terus kekal sebagai pendahulu,” jelas Azfaruddin.

Artikel Berkaitan:

Juara peringkat bagi kategori TK2 lelaki dan wanita membolot RM1,500 manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM1,000 dan RM500.

Bagi kategori intervarsiti lelaki, juara milik Tuan Muhamad Hidzam Tuan Dolah-Mohd Azman Ibrahim (UNISZA); naib juara Muhammad Farhan Haqimi Abdul Latiff-Mohamad Faiz Rosdin (UTHM) dan pemenang tempat ketiga Mohamad Izzat-Muhammad Hafizi (UNISZA).

Sementara bagi kategori intervarsiti wanita, wakil UTHM, Alya Athirah Shaharaziz-Nur Aleya Nafisha Norhanafi muncul juara diikuti Yusriyah Athirah-Nor Natasha Mohd Yusuf (UPSI) dan Nur Amira Syafiqah Rosli-Ain Syuhadah Zulkifli (UTHM).

Juara kategori intervarsiti lelaki dan wanita meraih RM1,000 manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang RM800 dan RM400.

Kategori antarabangsa SS1 yang menjadi tumpuan utama POPIC 2022 menyaksikan bekas juara dunia dari Afrika Selatan, Dawid Mockie dan Danielle McKenzie dari New Zealand masing-masing mengungguli saingan lelaki dan wanita.

Namun, kejutan berlaku apabila pelumba wanita tempatan, Aimi Ayuni Azwan berjaya menduduki tempat ketiga - ketinggalan di belakang pemenang tempat kedua, Irin Neegree.

Juara peringkat kategori antarabangsa SS1 lelaki dan wanita membolot RM3,000 manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing meraih RM2,000 dan RM1,000.

Selepas berakhirnya saingan di Pantai Hiburan, perlumbaan Peringkat 2 POPIC 2022 - kejohanan kanu antarabangsa yang julung-julung kali diadakan di Pahang akan berlangsung di Pantai Lagenda, Pekan pada Khamis.