Tiada halangan calon ada kes mahkamah bertanding PRU15

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan tiada keperluan untuk menambah syarat baharu menghalang calon yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, syarat-syarat bagi pencalonan pilihan raya sedia ada mencukupi sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

"Bagi memartabatkan demokrasi, tidak perlu menambah syarat-syarat baharu bagi menghalang mana-mana individu daripada bertanding, sebagai contoh untuk menggubal undang-undang bagi individu yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah untuk tidak layak bertanding.

"Syarat-syarat bagi pencalonan pilihan raya sedia ada mencukupi yang mengatakan bahawa sekiranya individu itu didapati bersalah dan dihukum, dengan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas akan hilang kelayakan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Baru-baru ini, Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) mencadangkan kerajaan mengetatkan syarat kelayakan calon bertanding bagi mana-mana pilihan raya termasuk melarang individu dalam perbicaraan mahkamah berkaitan kes salah laku, penyelewengan dan rasuah.

Wan Junaidi berkata, keadaan akan kembali ke era 90-an dengan proses pencalonan rumit sekiranya mengetatkan syarat pencalonan sedia ada.

"Adalah wajar kita berpandu kepada undang-undang sedia ada yang sememangnya lengkap dan mencukupi untuk proses pencalonan pilihan raya," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelasakan keahlian individu yang telah dipilih menjadi ahli Parlimen tidak akan tergugur melainkan syarat-syarat sebagai mana yang ditentukan di bawah Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan ahli Parlimen telah dihukum dan belum mendapat pengampunan.

Artikel Berkaitan:

"Mengikut Perkara 48 (4) (c) apabila proses yang terakhir iaitu proses pengampunan gagal, maka barulah keahlian ahli parlimen tersebut tergugur dengan sendirinya," katanya.