Lelaki tidak mengaku pukul isteri

Roslan (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Selasa.
Roslan (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini pada Selasa atas tuduhan mencederakan isterinya menggunakan tangan pada Julai lalu.

Tertuduh Roslan Kamis, 50, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapanya di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan tangan dengan cara memukul di bahagian muka sebelah kiri dan tangan sebelah kanan isterinya berusia 47 tahun di simpang masuk Taman Tanjung Jaya, Tanjung Kling, jam 10.45 pagi pada 25 Julai lalu.

Bagi keseksaan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan sebanyak RM9,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak menganggu mangsa sehingga prosiding selesai.

Tertuduh yang diwakili peguam, N Gunalan merayu jaminan rendah dikenakan ke atas anak guamnya dengan alasan dia hanya bekerja sendiri dan perlu menanggung tiga orang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dan bersetuju dengan syarat tambahan dikemukakan Sharina Farhana selain menetapkan sebutan semula kes pada 18 Oktober depan.

Artikel Berkaitan: