Tak puas hati barang disita, lelaki tumbuk anggota MBJB

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) cedera dipukul pengurus sebuah premis semasa menjalankan operasi penyitaan sebuah kedai di Taman Pelangi di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pada jam 1.50 pagi melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun yang tidak berpuas hati dengan operasi dijalankan MBJB.

"Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka akibat ditumbuk, selain turut mengalami lebam di lutut kirinya.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan operasi sitaan barangan yang dijalankan MBJB kerana premis terbabit tidak mempunyai lesen beroperasi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat oleh mangsa, pengurus berkenaan berjaya ditahan polis di premis tersebut pada jam 1.15 petang Isnin.

Tambah Raub, kes disiasat mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Suspek akan dimohon untuk dikenakan reman bagi membantu siasatan yang dijalankan," katanya.

Sehubungan itu ujar beliau, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi talian 07-2182323 atau 011-40678218 untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: