Taiwan sebuah negara atau wilayah?

Undian menunjukkan semakin ramai rakyat Taiwan menyedari dan menolak idea bahawa pulau itu harus jadi sebahagian tanah besar China.
Undian menunjukkan semakin ramai rakyat Taiwan menyedari dan menolak idea bahawa pulau itu harus jadi sebahagian tanah besar China.
A
A
A

TAIPEI - Taiwan terus menjadi perhatian dunia selepas kembali berbalah dengan China susulan kunjungan kontroversi Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taipei pada 2 Ogos lalu.

Lawatan Pelosi mencetuskan kemarahan Beijing kerana dianggap sebagai satu bentuk provokasi daripada Washington.

China selama ini menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan kurang senang dengan cita-cita Taipei yang ingin menjadi sebuah negara berdaulat.

Kerana itu, China melihat setiap lawatan diplomat asing terutama AS ke Taipei sebagai satu bentuk sokongan negara tersebut terhadap keinginan Taiwan untuk merdeka.

Beijing juga kerap meluahkan kemarahan terhadap negara yang memiliki hubungan diplomatik dengannya kerana menjalin kemesraan dengan Taiwan.

Ia sebelum ini memberi amaran memutuskan hubungan dengan mana-mana negara yang berani mengakui pemisahan Taiwan daripada China.

Perang saudara

Perselisihan antara Taiwan dan China tercetus sejak perang saudara semasa Revolusi Komunis China pada 1945-1949.

Artikel Berkaitan:

Ketika itu, China mengambil alih daratan selepas Jepun yang menjajah negara tersebut kalah dalam Perang Dunia Kedua pada 1945.

Tidak lama selepas pengunduran Jepun, perang saudara meletus antara pasukan pemerintah nasionalis yang dipimpin oleh Chiang Kai-shek dari Parti Kuomintang (KMT) dengan Parti Komunis pimpinan Mao Zedong.

Selepas kalah dalam perang saudara, kerajaan Republik China melarikan diri ke Taiwan pada 1949, manakala komunis mengubah nama rasmi China menjadi Republik Rakyat China (PRC).

Sejurus melarikan diri ke Taiwan atau dahulunya dikenali sebagai Formosa, Kai-shek dan partinya menguasai pulau berkenaan dan mengisytiharkan ia sebagai sebuah negara berdaulat yang terpisah dengan tanah besar China yang diperintah Parti Komunis.

KMT kemudian menamakan Taiwan sebagai Republik China (ROC) bagi membezakan mereka dengan PRC.

Sejak itu, Taiwan membentuk sistem pemerintahan sendiri dengan Presiden sebagai ketua negara serta memiliki angkatan bersenjata atau ketenteraan sendiri.

Berbeza dengan China, Taiwan sehingga saat ini memiliki sistem pemerintahan demokrasi.

Keanggotaan di PBB

Sebelum tercetusnya perang saudara, masyarakat antarabangsa mengiktiraf kerajaan Republik China pimpinan KMT sebagai pemerintah rasmi tanah besar China.

Hubungan Taipei-Beijing berubah menjadi dingin pada tahun 2016 apabila Tsai Ing-wen dilantik menjadi Presiden Taiwan dan berpendirian bahawa Taiwan adalah sebuah negara bebas, bukannya wilayah China.
Hubungan Taipei-Beijing berubah menjadi dingin pada tahun 2016 apabila Tsai Ing-wen dilantik menjadi Presiden Taiwan dan berpendirian bahawa Taiwan adalah sebuah negara bebas, bukannya wilayah China.

Malah, Republik China pernah menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pernah menjadi salah satu daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Namun, keanggotaan Republik China di PBB hanya berlangsung selama 26 tahun iaitu dari 1945 hingga 1971.

Sekitar 1960-an, PRC mula menagih simpati dan sokongan daripada negara-negara yang baru dibentuk dan menganggotai PBB.

Sejak itu, status pemerintah rasmi tanah besar China kerap dipersoalkan oleh PBB.

Situasi semakin kusut selepas PRC berulang kali mengajukan keanggotaannya dalam badan dunia itu sebagai pemerintah rasmi tanah besar China.

Sehinggalah pada 1971, pungutan suara ke-21 menyaksikan keanggotaan PRC di PBB akhirnya diterima dengan 76 negara menyokong, 35 menentang manakala 17 lagi berkecuali.

Hasil pungutan suara itu dimasukkan dalam Resolusi 2758 Perhimpunan Agung PBB (UNGA).

Dalam resolusi tersebut, UNGA mengakui bahawa perwakilan pemerintah PRC pimpinan Mao Zedong merupakan satu-satunya perwakilan rasmi tanah besar China di PBB.

Sejak itu, keanggotaan Republik China pimpinan Kai-shek tersingkir daripada badan dunia itu.

Ia merupakan salah satu alasan mengapa akhirnya Republik China yang kini disebut sebagai Taiwan tidak dikategorikan sebagai sebuah negara.

'Kekalahan AS'

Peristiwa penyingkiran Republik China dianggap sebagai 'kekalahan terbesar AS dalam sejarah PBB'.

Sebelum resolusi itu dibuat, AS merupakan salah satu penyokong kuat Republik China, namun pada 1971 banyak negara barat termasuk sekutu Washington sendiri memberi sokongan kepada PRC.

Perkara ini menjadi salah satu alasan mengapa PRC mampu memenangi kerusi China di PBB.

AS akhirnya mengubah sikap dengan memutuskan hubungan diplomatik dengan Taiwan dan sebagai ganti ia menjalin hubungan rasmi dengan China di bawah pemerintahan Parti Komunis.

Pun begitu, AS tetap memiliki komitmen terhadap negara berkenaan berdasarkan Akta Hubungan Taiwan. - Agensi