Laluan berliku menanti Melaka United

Sekitar majlis undian, mesyuarat koordinasi perlawanan dan sidang media praperlawanan Piala Tun Sharifah Rodziah 2022 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin. FOTO: Football Association of Malaysia
Sekitar majlis undian, mesyuarat koordinasi perlawanan dan sidang media praperlawanan Piala Tun Sharifah Rodziah 2022 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin. FOTO: Football Association of Malaysia
A
A
A

JUARA edisi 2019, Melaka United bakal berhadapan saingan sengit Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah 2022 yang akan membuka tirainya di JSA Arena Setia Alam, Shah Alam pada Rabu.

Melaka United diundi dalam Kumpulan A bersama Pulau Pinang dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Pahang, yang masing-masing merupakan juara Zon Utara dan Zon Tengah pada Liga Wanita Nasional (LWN), selain Sabah dalam satu majlis undian berlangsung pada Isnin.

Mengakui kedua-dua pasukan itu merupakan saingan sengit buat skuad Melaka, pengendali S Ganesan Pillay bagaimanapun optimis, skuad kendaliannya mampu mempertahankan gelaran juara piala wanita berprestij tersebut.

Malah katanya, keputusan undian itu adalah seimbang, meskipun Melaka merupakan satu-satunya naib juara tunggal dalam saingan LWN sebelum ini.

"Memang ikutkan SSM Pahang dan Pulau Pinang adalah kumpulan yang kuat, tapi kita belum tengok lagi permainan mereka di padang.

"Saya tengok Kumpulan A seimbang pasukannya. Dengan pemain saya yang komited, saya yakin dapat pertahankan kejuaraan," katanya selepas sidang media di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin.

Sementara itu, Negeri Sembilan juara Zon Selatan LWN, dijangka tidak berhadapan masalah apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Selangor dan Kelantan United, yang masing-masing merupakan naib juara LWN Zon Tengah dan Zon Utara turut membabitkan Sarawak dalam perebutan tiket ke perlawanan peringkat kumpulan itu.

Piala Tun Sharifah Rodziah yang membuka tirainya bermula Rabu hingga 11 September, berlangsung di JSA Arena Setia Alam, Shah Alam manakala perlawanan akhir diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - Bernama

Artikel Berkaitan: