Harimau Muda B-17 berdepan laluan berliku

Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Yaman aksi Kumpulan A Piala Asia B-17 di Stadium Thammasat, di Bangkok, Thailand pada Khamis. Foto: Facebook FAM
Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Yaman aksi Kumpulan A Piala Asia B-17 di Stadium Thammasat, di Bangkok, Thailand pada Khamis. Foto: Facebook FAM
A
A
A

SKUAD bola sepak Bawah 17 tahun negara berdepan laluan sukar dalam misi mara ke suku akhir kejuaraan Piala Asia B-17 apabila dibelasah Yaman, 4-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Thammasat, di Bangkok, Thailand pada Khamis.

Angkatan Yaman mengambil masa 20 minit untuk merobek gawang skuad Harimau Muda negara menerusi jaringan Abdul Rahman Al Kadher.

Gol itu ternyata meningkatkan motivasi para pemain Yaman apabila meningkatkan asakan yang hasilnya dijelmakan jaringan Adel Abbas Qasem pada minit ke-32 untuk kedudukan 2-0 separuh masa pertama.

Harimau Muda yang kembali dengan semangat baharu babak kedua berusaha kembali dalam permainan.

Namun Yaman yang tenang mengawal permainan akhirnya dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Anwar Hussein Al Turaiqi pada minit ke-47.

Bolos tiga gol tidak menjejas tumpuan Harimau Muda yang berusaha menyaingi Yaman sebelum langkah pasukan dimatikan jaringan sendiri Adib Ibrahim yang tertampan bola ke gawang sendiri.

Keputusan itu menyaksikan Harimau Muda kendalian Osmera Omaro tidak mempunyai pilihan kecuali menang berdepan Thailand dan Laos dalam baki dua perlawanan.