Mayat pemancing ditemukan tersangkut pada pukat bot

Mayat pemancing yang terjatuh ke dalam sungai Sembayong, Kota Tinggi pada Ahad ditemukan pada Isnin kira-kira 400 meter dari jarak mangsa terjatuh.- Foto Ihsan Bomba
Mayat pemancing yang terjatuh ke dalam sungai Sembayong, Kota Tinggi pada Ahad ditemukan pada Isnin kira-kira 400 meter dari jarak mangsa terjatuh.- Foto Ihsan Bomba
A
A
A
JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pemancing yang dilaporkan hilang selepas pelanggaran dua bot di Kampung Sungai Sembayong, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, petang Ahad ditemukan mati tersangkut di pukat bot nelayan, petang Isnin.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Rafiee A Karim berkata, mayat lelaki berusia 33 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Fauzi, ditemukan pada jam 3.20 petang, kira-kira 300 meter (m) dari lokasi kejadian.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.15 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Rafiee berkata, operasi mencari dan menyelamat dibahagikan kepada dua pasukan dengan menggunakan dua unit bot aluminium.

"Operasi pencarian dilakukan dalam radius 400m dari kawasan mangsa dipercayai jatuh (daripada bot) dengan menggunakan teknik pencarian di permukaan air dan selaman.

"Operasi pencarian turut dibantu oleh orang kampung dan beberapa buah bot nelayan tempatan," kata beliau.

Pada kejadian semalam, tiga pemancing dilaporkan terjatuh selepas pelanggaran dua bot tersebut.

Bagaimanapun, dua pemancing dikenali sebagai Mohd Mumtaz Hamzah, 38, dan Kamisan, 31, berjaya diselamatkan orang awam manakala Fauzi dilaporkan hilang pada kejadian kira-kira jam 5 petang itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: