Laporan Suhakam: Jangan terburu-buru jatuh hukuman

No Image Caption
A
A
A

MEMBACA pelbagai komen kritikal yang dibuat ke atas hasil inkuiri awam dalam kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat, apa yang tergambar adalah seolah-olah sesuatu yang sudah pasti bahawa ia merupakan kerja buat Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pihak-pihak seperti Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Ramkarpal Singh, terus sahaja mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, selaku Ketua Cawangan Khas PDRM waktu itu meletakkan jawatan atau digantung jawatan jika gagal berbuat demikian. Saya sendiri baru sahaja berkesempatan meneliti dua laporan Suhakam tersebut, iaitu “Public Inquiry Into The Disappearance Of Amri Che Mat” setebal 104 muka surat dan “Public Inquiry Into The Disappearance Of Pastor Raymond Koh” setebal 100 muka surat.

Poin utama dua laporan ini adalah keputusan panel pada Poin 32 untuk Amri Che Mat dan Poin 36 untuk Pastor Raymond Koh, iaitu bahawa terdapat kemungkinan (on a balance of probabilities) yang kedua-dua mereka telah diculik oleh Cawangan Khas PDRM.

Disebut dalam laporan ini pada Poin 62 dan 64 untuk Amri Che Mat dan Poin 66 dan 68 untuk Pastor Raymond Koh bahawa darjah pembuktian di sini adalah kemungkinan (on a balance of probabilities) bukan melebihi keraguan munasabah (beyond reasonable doubt).

Sebab itulah juga panel ini mengakui pada Poin 75 untuk Amri Che Mat dan Poin 79 untuk Pastor Raymond Koh bahawa ia telah turut menerima pakai bukti cakap dengar (hearsay evidence) seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam penjelasan mengenai prinsip darjah pembuktian, panel ini juga mengakui pada Poin 64 untuk Amri Che Mat dan Poin 68 untuk Pastor Raymond Koh bahawa keputusan panel hanyalah satu pandangan yang tidak mengikat (an expression of a non-binding opinion).

Mengenai beban pembuktian pula, panel ini menyebut pada Poin 67-68 untuk Amri Che Mat dan Poin 71-72 untuk Pastor Raymond Koh bahawa ia terletak pada negara yang perlu memberi bukti dan penjelasan, on a balance of probabilities, bahawa ia tidak terlibat.

Oleh itu, selaras dengan prinsip natural justice dan rule of law, kita perlulah menunggu Cawangan Khas PDRM memberi bukti dan penjelasan, on a balance of probabilities, bahawa ia tidak terlibat dalam kedua-dua kes ini dalam forum bersesuaian terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Keputusan panel ini adalah sesuatu yang belum pasti, iaitu terdapat kemungkinan yang kedua-dua mereka telah diculik oleh Cawangan Khas PDRM, tetapi cara media melaporkan dan cara pihak-pihak tertentu mengomen seolah-olah ia sesuatu yang sudah pasti.

Pelik juga dengan tabiat orang kita yang begitu cepat mahu menjatuhkan hukuman dalam kes-kes sebegini sedangkan prosedur belum lagi dipenuhi malah panel dalam kes ini sendiri mengakui keputusannya bukan satu hukuman (does not amount to any conviction).

*Penulis merupakan seorang penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia.