Di manakah Khairy akan bertanding PRU15?

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

HASRAT Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah boleh dijangka.

Ini kerana sudah pasti beliau yang berjawatan nombor dua dalam parti mahu bertanding di peringkat yang lebih tinggi iaitu Parlimen dan tidak hanya mahu kekal di Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.

Kini persoalan yang timbul di manakah penyandang Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan bertanding nanti?

Khairy berkata, beliau telah diminta untuk memberikan laluan kepada Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat yang berhasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Oleh kerana beliau (Mohamad) adalah Ketua UMNO Bahagian Rembau dan saya timbalan kepada beliau. Jadi beliau telah minta saya cari tempat lain la sebab dia kata dia nak bertanding di Rembau.

“Saya tidak ada halangan,” katanya seperti yang dilaporkan pada Ahad.

Menteri Kesihatan itu juga menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai persediaan atau idea untuk mencuba nasib di mana-mana kawasan Parlimen lain setakat ini.

“Saya tidak tahu kawasan lain. Saya berpolitik di Rembau lebih 20 tahun dan hampir 15 tahun saya jadi Ahli Parlimen Rembau.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang saya kena berusaha sekiranya ada kawasan yang sanggup menerima saya. Atau senario terburuk, saya tidak bertanding tapi tiada masalah bagi saya,” katanya.

Selepas kenyataan itu, timbul pula pelawaan daripada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin yang mempelawa agar bertanding di Parlimen Seremban pada PRU15 nanti.

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

Kata Zool Amali, kepimpinan tertinggi UMNO diharap dapat melihat cadangan berkenaan sekaligus merealisasikan hasrat UMNO untuk bertanding di Parlimen Seremban kali ini.

Apa yang dapat dilihat di sini, sekiranya Khairy bertanding di Parlimen Seremban, ia akan menyebabkan berlakunya pertentangan ‘besar’ di kawasan tersebut.

Ini kerana penyandang kerusi Parlimen itu adalah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan tidak mungkin UMNO akan membenarkan Khairy yang cemerlang dalam tugasnya sebagai Menteri Kesihatan bertanding di kawasan berkenaan.

Berkemungkinan UMNO akan memberikan kerusi yang ‘selamat’ untuk Menteri Kesihatan ini bertanding dalam PRU15.

Tetapi di manakah kawasan yang akan diberikan? Sebelum ini khabar angin pernah bertiup kencang supaya Khairy bertanding di kawasan Parlimen Putrajaya.

Perkara ini juga pernah dilaporkan apabila bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz tidak menolak kemungkinan Khairy untuk bertanding di kawasan itu pada PRU15.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, UMNO akan rugi jika Khairy tidak bertanding pada PRU15.

Menurutnya, Khairy dilihat sebagai personaliti yang boleh memberi keseimbangan untuk menarik pengundi khususnya kumpulan belia 18 tahun dan pengundi kali pertama.