SAM perkenalkan dua kategori bawah Anugerah Perpaduan

Norismadi
Norismadi
A
A
A

PERSATUAN Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) buat julung kalinya memperkenalkan dua kategori di bawah Anugerah Perpaduan iaitu Laporan Media Terbaik dan Fotografi Perpaduan Terbaik bagi menyuntik pembaharuan dalam penganjuran Anugerah 100PLUS Perpaduan SAM 2020/2021 pada 6 September ini.

Pengamal media mendapat pengiktirafan itu apabila Kementerian Perpaduan Negara bersetuju bekerjasama bagi mengangkat hasil karya wartawan sukan melalui anugerah tersebut yang akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya Selasa ini.

Kerjasama itu dilihat sebagai satu lagi medan pengiktirafan kepada penggiat media sukan tanah air yang turut memainkan peranan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan keluarga Malaysia melalui laporan sukan serta paparan fotografi masing-masing.

Presiden SAM, Norismadi Abd Manap berkata, teruja dengan penglibatan Kementerian Perpaduan Negara dalam anugerah kali ini.

Katanya, ia membuktikan peranan wartawan dan jurufoto sukan melangkaui segala perbezaan dan menjadi ejen perpaduan menerusi laporan serta foto yang mereka hasilkan.

"SAM berharap kerjasama ini tidak berakhir di sini malah diteruskan pada masa akan datang. SAM juga sangat berbesar hati untuk membantu Kementerian Perpaduan Negara dalam program-program anjuran mereka selepas ini.

"SAM juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Menteri Perpaduan Negara dan seluruh warga kementerian atas kerjasama ini," ujarnya.

Beliau berkata, walaupun baharu diperkenalkan, penyertaan bagi kategori Anugerah Perpaduan Terbaik dan Fotografi Perpaduan Terbaik mendapat sambutan menggalakkan dengan hampir 100 penyertaan diterima.

Artikel Berkaitan:

"Melalui kerjasama ini, kita memberi peluang kepada ahli-ahli SAM untuk meluaskan karya dan menceburi sisi lain dalam penulisan sukan. Dalam kategori fotografi perpaduan pula, jurufoto boleh mempamerkan kreativiti mereka merakam momen-momen bermakna berkaitan perpaduan dalam sukan.

"Kita tidak nafikan sukan merupakan salah satu elemen penting untuk membentuk perpaduan. Saya berharap agar kerjasama strategik ini akan berterusan pada masa hadapan dan mengalu-alukan bentuk kerjasama yang sama daripada pelbagai pihak," ujar Norismadi.

Anugerah SAM yang bermula pada tahun 1985 untuk menghargai peranan atlet dan warga kewartawanan sukan tempatan dengan enam kategori Anugerah Kewartawanan mula dipertandingkan pada tahun 2009 selain anugerah kepada atlet terbaik negara.

Majlis Anugerah 100Plus Perpaduan SAM 2020/2021 kali ini menggabungkan dua edisi iaitu tahun 2020 dan 2021 dengan menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai paling tinggi dalam sejarah penganjurannya iaitu sebanyak RM109,000.