Bot karam: Empat nelayan terselamat

Anggota Maritim Malaysia menyelamatkan empat nelayan selepas bot mereka karam berhampiran Pulau Kendi.
Anggota Maritim Malaysia menyelamatkan empat nelayan selepas bot mereka karam berhampiran Pulau Kendi.
A
A
A

GEORGETOWN - Empat nelayan terselamat selepas bot yang dinaiki mereka karam dalam kejadian di kedudukan 6.6 batu nautika selatan Pulau Kendi di sini pada pagi Ahad.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri menerima laporan kejadian berkenaan kira-kira jam 9.15 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan.

Menurutnya, bot PERKASA 1220 Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk membuat pencarian dan pemantauan di sekitar lokasi kejadian.

"Keadaan laut yang bergelora serta lokasi yang tidak tepat menyukarkan anggota Maritim untuk melakukan pencarian.

"Bagaimanapun anggota Bot PERKASA 1220 akhirnya menemui keempat-empat mangsa bot karam tersebut dalam keadaan selamat sedang berpaut di bot yang terbalik," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Ahad.

Abd Razak berkata, kesemua mangsa yang terlibat adalah lelaki warga tempatan berusia 31 hingga 43 tahun.

Katanya, kesemua mereka di bawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Abd Razak menasihatkan agar setiap komuniti nelayan mengutamakan keselamatan di laut termasuk memastikan peralatan sentiasa berada di dalam keadaan yang baik bagi persediaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemilik bot juga dinasihatkan agar berhati-hati dan menyemak ramalan kaji cuaca sebelum turun ke laut.

"Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh dibuat dengan menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.