Deva sahut cabaran Nur Jazlan bertanding di Parlimen Pulai

Gambar dari kiri; Nur Jazlan dan Deva
Gambar dari kiri; Nur Jazlan dan Deva
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Penerangan MIC Johor, S Deva sedia menyahut cabaran Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, MIC tidak gentar dan akan berdepan apa juga rintangan bagi memastikan BN dapat merampas semula kerusi itu selepas Nur Jazlan ditolak pengundi hingga tersungkur pada PRU14.

"Justeru di bawah pentadbiran BN demi memastikan kelangsungan hak dan kepentingan pengundi di Pulai terus terjaga dengan aspirasi slogan Keluarga Malaysia dan Maju Johor, saya menyahut cabaran Datuk Nur Jazlan dan menawarkan diri bertanding di Parlimen Pulai pada PRU15.

"Tujuan utama saya terpanggil menyahut cabaran ini kerana beberapa faktor teras seperti saya adalah anak Kampung Pulai, pengundi berdaftar Parlimen Pulai, Ahli Jawatankuasa MIC dan BN Johor serta Pegawai Penjawat Awam," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Nur Jazlan sebelum ini mendakwa MIC dan MCA lemah sejak PRU13 dan PRU14 selain mencabar dua parti komponen tersebut untuk bertanding di Parlimen Pulai.

Pada PRU14, Nur Jazlan buat pertama kali kalah di Parlimen Pulai dalam pertembungan empat penjuru yang menyaksikan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menang dengan majoriti 28,924 undi.

Deva berkata, beliau yakin menerusi pengalaman dalam membantu masyarakat semasa dalam parti, kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan sahaja di Parlimen Pulai tetapi seluruh Johor, MIC akan mampu memenangi semula hati pengundi di Pulai.

"Apa jua cabaran, pemimpin MIC Johor akan sambut dengan berani demi maruah ahli-ahli kami dan untuk pengetahuan semua MIC yang ditubuhkan pada 1946 bukan sahaja sebuah parti politik tetapi entiti wadah perjuangan dalam BN," katanya.

Artikel Berkaitan: