Pas sasar bertanding 80 kerusi Parlimen

Muhammad Sanusi ketika bertemu pengamal media di pusat media Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks PAS Kedah pada Ahad. - Foto Bernama
Muhammad Sanusi ketika bertemu pengamal media di pusat media Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks PAS Kedah pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Pas menyasarkan untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan yakin mampu menang di 40 kerusi ditandingi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sekiranya sasaran Pas itu dapat dicapai, tiada mana-mana parti lain dapat membentuk kerajaan Persekutuan tanpa parti itu.

Menurutnya, 40 sasaran kerusi yang boleh menang itu adalah batu lonjakan yang ditetapkan dalam perjalanan parti itu bermula 2020 hingga 2050.

"Dalam kita ada 18 kerusi Parlimen pun, banyak perjuangan atau dasar ditentukan Menteri Pas dapat dirasai nikmatnya oleh rakyat, bayangkan kalau kita dapat 40 kerusi. Pada masa itu mereka akan dapat saksikan Perdana Menteri dari Pas," katanya dalam sesi penggulungan Ucapan Dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, buat masa ini Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pas sedang menganalisis kawasan-kawasan pilihan raya yang mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk diletakkan dalam senarai 80 kawasan disasarkan untuk ditandingi.

"Mana-mana kawasan yang tidak capai KPI akan digugurkan dan digantikan dengan kawasan lain yang miliki prestasi baik dari segi persiapan jentera atau keperluan lain untuk hadapi PRU," ujarnya lagi.

Mengulas mengenai penggunaan logo dalam PRU akan datang, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu sedang 'dimasak' dan belum boleh 'dihidangkan'.

"Tunggu 'masak' dulu, baru boleh hidang, nak jadi macam mana tak tahulah. Kita harap parti dapat buat keputusan terbaik yang menguntungkan Pas.

Artikel Berkaitan:

"Saya pun nak macam itu (guna logo Pas) tetapi perkara ini kena berunding dan bincang. Rakan kena setuju sebab kalau kita 'gagahkan' juga tetapi rakan tak setuju, berlaku perpecahan menyebabkan kerugian lebih besar, kita kena berlapang dada selepas keputusan dibuat," katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah turut mengingatkan ahli parti agar tidak memboikot parti sekiranya rakan-rakan mereka tidak terpilih sebagai calon PRU.

"Dilarang boikot parti, ini berlaku di beberapa kawasan. Sebagai parti politik terbaik di Malaysia, pemimpin serta ahli Pas di semua kawasan tak akan boikot parti jika hasrat sendiri tidak tercapai, kita akan laksanakan apa saja perkara diputuskan kepimpinan Pas," katanya.